Mimpi indah Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah sejak tiga musim lalu akhirnya terhenti selepas Los Blancos kecundang 1-4 (aggregit 3-5) ditangan Ajax pada perlawanan kedua peringkat 16 terbaik di Santiago Bernabeu, sebentar tadi.
Kemenangan 2-1 yang dicatatkan Real Madrid pada aksi di Belanda tempoh hari langsung tidak memberikan kelebihan buat anak buah Santiago Solari, sebaliknya Ajax tampil dengan cukup bersemangat sejak dari awal permainan.
Ia jelas terbukti apabila Hakim Ziyech berjaya membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh permainan.
Ziyech yang mendapat lorongan daripada Dusan Tadic dari sebelah kiri pintu gol Real Madrid, melakukan percubaan kaki kiri yang berjaya melepasi jangkauan Thibaut Courtois.
Jentera serangan Real Madrid berusaha mengatur gerakan bagi mencipta jaringan penyamaan bagaimanapun usaha mereka tidak berhasil dan David Neres menghukum mereka pada minit ke-18.
Tadic terus menjadi arkitek buat Ajax apabila lorongan cantik dihasilkannya dalam kawasan penalti Real Madrid memberikan peluang buat Neres untuk melepasi kawalan Luka Modric dan kemudiannya menembusi gawang Courtois bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Malang menimpa Real Madrid setelah Lucas Vasquez dan Vinicius Junior terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak pertama akibat kecederaan yang dialami.
Jangkaan tuan rumah akan kembali bangkit pada separuh masa kedua meleset apabila segala usaha yang dicurahkan para pemain masih gagal menjelmakan jaringan.
Ajax sebaliknya berjaya melebarkan kedudukan dengan jaringan ketiga menerusi sumbangan Tadic di minit ke-62 hasil percubaan dalam kawasan penalti yang tidak mampu dihalang Courtois.
Para pemain Real Madrid pantas meminta bantuan Video Assistant Referee (VAR) untuk menilai semula jaringan tersebut kerana terdapat pertikaian, namun keputusan tetap memihak Ajax.
Berselang lapan minit kemudian, Marco Asensio menghidupkan peluang buat Real Madrid selepas beliau menyempurnakan peluang hasil hantaran dilakukan Sergio Reguilon dalam kawasan penalti.
Namun, kegembiraan Real Madrid hanya bertahan dua minit sahaja apabila sepakan percuma Lasse Schoene berjaya memperdaya Thibaut Courtois untuk gol keempat buat Ajax.
Luka Karim Benzema dan rakan sepasukan semakin parah setelah Nacho Fernandez terpaksa diperintahkan keluar padang selepas menerima dua kad kuning.
Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 4-1 memihak Ajax untuk menamatkan mimpi indah Real Madrid yang berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah selama tiga musim berturut-turut.