Quantcast

BERITA

UCL 2018/19: Berjaya Kekang Tekanan Borussia Dortmund, Tottenham Tempah Tiket Ke Suku Akhir

Tottenham Hotspur berjaya menyerap tekanan hebat yang diberikan Borussia Dortmund untuk mencatatkan kemenangan 1-0 pada perlawanan kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah di Signal Iduna Park.

Jaringan tunggal daripada Harry Kane itu membolehkan Spurs melayakkan diri ke peringkat suku akhir dengan kelebihan aggregit 4-0.

Kekalahan 0-3 di Wembley nyata membuatkan Dortmund begitu bernafsu untuk memburu jaringan sejak dari awal permainan lagi.

Aksi babak pertama memperlihatkan dominasi oleh skuad bimbingan Lucien Favre dengan lima percubaan tepat ke arah pintu gol yang dikawal Hugo Lloris berjaya dihasilkan.

Di kem Tottenham pula tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai persembahan Harry Kane dan Son Heung-Min di jentera serangan.

DORTMUND, GERMANY – MARCH 05: Harry Kane of Tottenham Hotspur scores his sides first goal during the UEFA Champions League Round of 16 Second Leg match between Borussia Dortmund and Tottenham Hotspur at Westfalen Stadium on March 05, 2019 in Dortmund, North Rhine-Westphalia. (Photo by Dean Mouhtaropoulos/Getty Images)

Pujian harus diberikan buat anak buah Mauricio Pochettino kerana kekentalan unit pertahanan Tottenham yang dikemudi Toby Alderweireld, Jan Vertonghen dan Davinson Sanchez serta kekebalan Lloris mengemudi gawangnya sekaligus menghalang usaha tanpa jemu tuan rumah itu.

Antara serangan berbahaya yang dilancarkan Borussia Dortmund adalah menerusi tandukan dari jarak dekat yang dilakukan Julian Weigl.

Namun, Lloris lebih tangkas menafikan tandukan tersebut dan Ben Davies pantas memintas percubaan susulan dilakukan Weigl bagi menyelamatkan keadaan.

Ketika permainan babak kedua baru berlangsung empat minit, Harry Kane yang tidak dikawal pertahanan mendapat lorongan baik daripada Moussa Sissoko dan tidak melepaskan peluang untuk menghasilkan jaringan pendahuluan.

Gol tunggal tersebut kekal hingga tamat permainan untuk membawa Tottenham Hotspur ke peringkat suku akhir buat pertama kali sejak musim 2010/11.