Liverpool berjaya menempah slot ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah musim ini bagi bertemu Real Madrid di Kiev walaupun kecundang 4-2 ditangan AS Roma di Stadio Olimpico awal pagi tadi.
Keputusan tersebut memberikan kelebihan agregit 7-6 buat anak buah Jurgen Klopp untuk kembali merasai aksi final selepas kali terakhir berada di pentas itu pada musim 2006/07.
AS Roma yang bermula garang sejak wisel permulaan dikecewakan dengan kelalaian oleh Radja Nainggolan apabila pemain antarabangsa Belgium itu melakukan kesilapan hantaran yang disambar Roberto Firmino pada minit ke-9.
Firmino yang kemudiannya melakukan hantaran kepada Sadio Mane menyebabkan situasi satu lawan satu buat Mane untuk mudah menewaskan Alisson Becker di gawang AS Roma bagi gol pendahuluan buat pelawat.
Penyokong AS Roma kembali ceria selepas usaha pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold untuk mengeluarkan bola dari kawasan bahaya terkena James Milner lalu bola menerjah jaring pada minit ke-15.
Dalam usaha skuad bimbingan Eusebio Di Francesco untuk menekan Liverpool, tanpa disangka-sangka Georginio Wijnaldum pula mengekploitasi kealpaan pertahanan tuan rumah.
Wijnaldum berjaya menanduk masuk bola hasil tandukan ke belakang daripada Edin Dzeko yang dalam usaha untuk membantu pertahanan ketika situasi sepakan penjuru untuk perlawanan babak pertama tamat dengan keputusan 2-1 memihak Liverpool.
Ketinggalan menerusi agregit 7-3 tidak dihiraukan para pemain AS Roma yang tidak berputus asa bagi merapatkan jurang pada babak kedua.
Usaha mereka berhasil pada minit ke-52 susulan percubaan dilakukan Stephan El Shaarawy yang ditepis Loris Karius terus singgah di kaki Dzeko, penyerang antarabangsa Bosnia itu dengan tenang kembali menyamakan kedudukan buat AS Roma.
Liverpool masih cuba untuk mencipta jaringan untuk menamatkan api perjuangan Roma, namun pertahanan dan penjaga gol mereka kental mengelakkan dari terus dibolosi.
Dua jaringan dari Radja Nainggolan pada lewat permainan menerusi satu rembatan dari luar kotak penalti dan sepakan penalti yang dihadiahkan masih belum mampu untuk memberikan kejutan buat Liverpool.
Jordan Henderson dan rakan sepasukan akhirnya melonjak kegembiraan dapat melangkah ke final selepas wisel penamat ditiup pengadil perlawanan dari Slovenia, Damir Skomina.