Quantcast

BERITA

UCL 2017/18: Kebangkitan Dramatik AS Roma Buatkan Barcelona Berputih Mata

AS Roma bangkit dari ketinggalan tiga jaringan untuk melakukan kejutan dengan menundukkan gergasi Sepanyol, Barcelona dengan keputusan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadio Olimpico awal pagi tadi.

Walaupun secara aggregitnya kedua-dua pasukan terikat 4-4, AS Roma layak ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Lebih menarik, dua pemain yang menjaringkan gol sendiri ketika di Nou Camp iaitu Daniele De Rossi dan Konstantinos Manolas membalas kesilapan yang dilakukan dengan menghasilkan jaringan buat skuad Eusebio De Francesco tersebut.

Pemain yang menjadi kerisauan buat pengendali Barcelona (Ernesto Valverde), Edin Dzeko membuka tirai jaringan seawal minit ke-6 perlawanan.

Dzeko yang menerima hantaran menarik dari Daniele De Rossi berjaya melepasi kawalan ketat Jordi Alba dan Samuel Umtiti sekaligus menewaskan Marc-Andre Ter Stegen untuk jaringan pendahuluan.

Dzeko terus menghadirkan bahaya buat pelawat dan hampir menambah jaringan kedua buat AS Roma. Mujur tandukan yang dilakukan berjaya dinafikan Ter Stegen.

Jaringan tunggal pada babak pertama oleh pemain antarabangsa Bosnia itu memisahkan kedua-dua pasukan.

Memasuki babak kedua, Dzeko terus memberikan kesukaran buat pertahanan Barcelona yang bertungkus-lumus mengekang gerakan ke arah gol yang cuba dilakukanya.

ROME, ITALY – APRIL 10: Edin Dzeko of AS Roma is fouled by Gerard Pique of Barcelona in the box, and a penalty is awarded during the UEFA Champions League Quarter Final Second Leg match between AS Roma and FC Barcelona at Stadio Olimpico on April 10, 2018 in Rome, Italy. (Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Kesan daripada keadaan tersebut, Gerard Pique telah melakukan kesilapan dengan mengasari Dzeko dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan dari Perancis, Clement Turpin tidak teragak-agak untuk menghadiahkan sepakan penalti buat AS Roma pada minit ke-57.

Daniele De Rossi yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan peluang tersebut untuk jaringan kedua perlawanan.

Tidak cukup dengan dua jaringan tersebut, Roma terus menggandakan asakan bagi memburu satu lagi jaringan yang bakal memberikan kelebihan buat mereka.

Manolas muncul wira tuan rumah setelah beliau menanduk masuk bola hasil hantaran dari sepakan sudut yang dilakukan Cengiz Under untuk jaringan ketiga sekaligus memberikan kelebihan gol di tempat lawan buat Roma.

Tiupan wisel penamat dari Turpin disambut dengan gegak gempita Stadio Olimpico bagi mengiri kejayaan AS Roma melayakkan diri ke peringkat separuh akhir.

Lebih teruja apabila mereka berjaya bangkit dari ketinggalan tiga gol dan lawan yang ditewaskan merupakan sebuah pasukan sangat disegani dalam kancah bola sepak dunia.

 

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!