Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang hadir ke Kuala Lumpur untuk menghadapi perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia pada malam ini sedar, mereka harus menempuh laluan berliku menentang pasukan negara.
Sebagai pengendali, Bert Van Marwijk pasti mahukan permulaan baik buat anak buahnya, lantas mengambil keputusan untuk hadir awal ke Kuala Lumpur bagi melakukan persiapan.
Selepas turut berkesempatan melakukan analisis perlawanan diantara Malaysia dan Indonesia tempoh hari, Van Marwijk mengakui pasukan negara mempunyai kualiti tersendiri untuk memberikan saingan sengit kepada pasukannya pada malam ini.
“Mereka [Malaysia] memiliki keyakinan, kami sudah kaji mereka dengan baik. Kami juga berada di Indonesia dan lihat mereka bekerja keras dalam perlawanan itu. Mereka bermain dengan pantas, ada ramai pemain pantas yang dimiliki mereka,” ujar beliau seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA.
“Kami perlukan tumpuan penuh dan kesungguhan, perlu ada disiplin ketat. Ia bukan sesuatu yang mudah tapi saya telah bersama dengan pasukan UAE sejak beberapa minggu lepas, dan saya juga menaruh keyakinan terhadap pasukan ini, tapi pastinya ia bukan perlawanan yang mudah,” jelas beliau dalam sidang media pra perlawanan di Bukit Jalil semalam.
Perlawanan pada malam nanti adalah perlawanan pertama UAE untuk perlawanan kelayakan ini. Ia juga merupakan perlawanan kompetitif pertama Van Marwijk bersama UAE – sejak dilantik pada Mac lalu.
Mengenai rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini, termasuk ketika UAE membelasah Malaysia 10-0 pada 2015, ini pula komen beliau:
“Apa yang berlaku sebelum ini tidak lagi boleh diambil kira. Saya tidak pernah memikirkannya langsung,” kata pengendali dari Belanda berusia 67 tahun itu.