Quantcast

BERITA

Datuk Hamidin: Kekalkan Rentak Positif Skuad Harimau Malaya

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mahu barisan pemain skuad kebangsaan meneruskan rentak positif pada aksi bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Skuad negara berada dalam mood terbaik untuk menghadapi cabaran sukar yang bakal dijelmakan anak buat Bert Van Marwijk itu selepas berjaya menundukkan Indonesia 3-2 di Stadium Utama Gelora Bung Karno tempoh hari.

Melihatkan kepada perkembangan positif tersebut, Hamidin yang sempat meluangkan masa bersarapan pagi bersama anggota skuad kebangsaan di hotel penginapan, pagi tadi menuntut satu lagi aksi membanggakan daripada pemain negara.

Hamidin

“Kita telah memulakan kempen dengan langkah kanan apabila berjaya menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September lalu. Jadi momentum dan rentak positif itu perlu kita teruskan pada perlawanan kedua bertemu UAE ini.”

“Saya harap para pemain akan tampil dengan semangat juang yang tinggi dan mempamerkan persembahan terbaik mereka.”

”Lebih-lebih lagi apabila kita akan dibantu dengan sorakan padu puluhan ribu penyokong sendiri di Rumah Harimau Malaya (Stadium Nasional) kita ini,” kata Datuk Haji Hamidin.

Ketika ini dilaporkan sudah 21,000 tiket terjual untuk perlawanan malam ini dan jumlah tersebut pastinya semakin bertambah menjelang sepak mula aksi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada jam 8.45 malam itu.

Kredit info & foto: FAM