Tutup Akademi, Bangunkan Pemain Buangan Kelab Elit, Ini Yang Dilakukan 3 Kelab Ini

Brentford akademi

Jika sebelum ini Semuanya BOLA membawakan kepada pembaca tentang bagaimana pelaburan Athletic Bilbao bagi memantapkan akademi dan prasarana menguntungkan mereka, kali ini, kita akan berkongsi bagaimana penutupan akademi juga adakalanya boleh membantu kelangsungan dan menguntungkan kelab.

Adakalanya memiliki akademi terbaik dan melahirkan pemain berkualiti juga tidak membantu satu-satu kelab untuk meraih kejuaraan. Bakat-bakat ini akhirnya memilih untuk berhijrah dan adakalanya tiada pulangan sewajarnya buat kelab asal mereka.

Akademi melatih, mencurahkan ilmu dan memberikan peluang untuk mereka merasai nikmat aksi maksimum, namun akhirnya sebelum beralih kepada kontrak profesional, pemain-pemain tersebut memilih untuk berhijrah dengan nilai yang rendah.

Ini yang merugikan kelab-kelab yang memiliki akademi terbaik. Kelab mereka gagal mengejar kejuaraan, malah kehilangan pemain-pemain yang mereka bentuk sejak dari permulaan dan langsung tidak sempat memecah masuk ke skuad utama.

Tutup akademi, jimat belanja

Apabila kelab memiliki akademi yang terbaik, pastinya ia akan melibatkan kos untuk menggerakannya. Kos untuk prasarana, kejurulatihan dan sebagainya. Jadi, kos ini dapat dijimatkan dengan penutupan akademi yang menggunakan kos perbelanjaan besar yang dikemudian hari akan kembali merugikan mereka.

Sebagai contoh kelab Brentford City FC, yang bersaing di Liga Championship, England. Selepas kehilangan bakat muda tanpa pulangan sewajarnya, mereka memilih untuk menutup akademi dan menggunakan kaedah lain demi kelangsungan kelab.

Brentford City membuat keputusan menutup akademi yang saban tahun menelan belanja hampir £2 juta dan memilih untuk mendapatkan pemain-pemain yang di lewat usia remaja serta tidak dimahukan oleh mana-mana kelab; mungkin kerana terlalu perlahan perkembangannya atau tiada skil yang mancukupi.

Menariknya, pemain-pemain ini pastinya adalah buangan kelab-kelab elit seperti Arsenal atau Manchester City kerana dirasakan tidak mampu memecah masuk ke skuad utama. Jadi, Brentford City memberikan mereka peluang kedua untuk mempamerkan bakat.

Berbanding kehilangan pemain muda, kini Brentford City menjadi ‘rumah’ kedua buat pemain-pemain yang disisihkan kelab-kelab elit lain. Dan dari segi prestasi kelab, ia masih stabil dan baik.

Rob Rowan, Brentford City
FOTO: Mark Chapman/Brentford FC

Ketua Operasinya, mendiang Rob Rowan pernah menjelaskan kepada The Sun mengenai kaedah ‘tidak popular’ yang diambil ini seperti tindakan Steve Job ketika kembali ke Apple.

“Perkara pertama yang dilakukan oleh Steve Job selepas kembali ke Apple adalah mengurangkan produk daripada 20 kepada 4.

“Rahsianya, dia mahu menjadikan 4 produk itu yang terbaik di dunia berbanding memiliki 20 produk yang biasa-biasa. Jadi, ianya (kaedah) seakan-akan begitu,” jelas Rowan sambil menyatakan mudah untuk kawal segalanya dalam skala yang lebih kecil.

Huddersfield Town & Tranmere Rovers

Selain Brentford City, Huddersfield Town dan Tranmere Rovers juga adalah contoh kelab yang menutup akademi dan kemudian menghidupkan pasukan kedua yang merangkumi bekas pemain kelab-kelab elit berusia antara 17 hingga 20 tahun.

Huddersfield Town ketika dinaikkan pangkat ke Liga Premier Inggeris (EPL) bermula pada musim 2017/18 memutuskan untuk menutup sistem akademi dan memberi fokus terhadap perkembangan pemain-pemain di usia 17 tahun dan ke atas.

Menurut pemiliknya, Dean Howley, “Keperluan untuk mencari cara bagi bersaing adalah lebih penting sejurus promosi ke EPL. Kami mesti mencari cara untuk kompetitif dengan kelab-kelab lain.”

Sementara bagi pemilik Tranmere Rovers, Mark Palios, memberi fokus kepada pemain berusia 16 tahun ke atas membolehkan mereka memecah masuk ke skuad utama, “Sistem ini (akademi) memberi kelebihan buat kelab-kelab besar. Ia perlu dikaji semula.”

Pada musim 2017, Tranmere Rovers adalah antara akademi terbaik di England tetapi saban tahun kehilangan pemain-pemain yang dilatih sejak usia muda tanpa sebarang notis mahupun pampasan.

Aaron Cresswell
LONDON, ENGLAND – APRIL 16: Aaron Cresswell of West Ham United during the Premier League match between West Ham United and Stoke City at London Stadium on April 16, 2018 in London, England. (Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Antara pemain yang dihasilkan oleh akademi The Whites adalah Aaron Cresswell, Jason Koumas, Ryan Taylor dan Alan Mahon.

Kesan positif dan negatif

Semua perkara yang kita lakukan pastinya ada kesan positif dan negatif. Tidak terkecuali dengan tindakan 3 kelab tersebut sejurus menutup sistem akademi yang sudah bertahun beroperasi.

Antara perkara positif yang dilalui oleh kelab-kelab tersebut adalah lebih ramai pemain yang dilatih berjaya memecah masuk ke skuad utama berbanding ketika mereka melatih ‘ubi-ubi’ yang akhirnya dituai dengan mudah oleh kelab-kelab elit selepas diintai.

Sebagai contoh Brentford City, sebelum penutupan akademi, hanya seorang pemain sahaja yang beraksi sehingga ke skuad utama berbanding kini, 2 pemain telah bersama skuad utama dan 7 pemain telah berjaya membuat debut skuad utama.

Antara pemain yang berhasil menerusi sistem ‘caras’ buangan kelab-kelab elit adalah Justin Shaibu (HB Koge, Denmark), Chris Mepham (Chelsea) dan Ilias Chatzitheodoridis (Arsenal).

Mereka juga dapat mengelak kelab-kelab elit daripada memancing pemain-pemain semuda belasan tahun tanpa pampasan. Liverpool dan Manchester City pernah dihukum larangan perpindahan pemain untuk tiga musim atas kesalahan ‘tapping’ ini.

Ilias Chatzitheodoridis
FOTO: Brentford City

Negatifnya tindakan ini adalah mereka tidak mengikuti polisi wajib EPL untuk setiap kelab memiliki akademi sendiri dan kesannya mereka tidak diberikan lesen UEFA bagi bertanding di Liga Juara-Juara dan Europa – kerana tiada sistem pembangunan pemain.

Penutup

Bagaimana dengan situasi di Malaysia? Pada pandangan penulis, sistem pembangunan kita masih banyak kekurangannya. Ya, kita miliki liga untuk pemain-pemain muda seperti Piala Belia dan juga Piala Presiden, namun adakah ia releven dan apa kesudahannya?

Kita juga memiliki akademi peringkat nasional seperti Akademi Mokhtar Dahari tetapi pelbagai masalah timbul sehingga hampir tersungkur. Begitupun, kita masih mampu melahirkan produk-produk yang baik ketika ini, namun adakah mereka berjaya menempatkan diri dalam skuad utama pasukan atau terhenti perkembangannya sejurus berusia 18 tahun dan ke atas?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN