Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) hari ini mengesahkan mereka telah melunaskan semua tunggakan gaji yang berjumlah RM2.1 juta kepada semua pemain dan pegawai pasukan.
Menurut laporan daripada Stadium Astro, jumlah itu merangkumi kesemua gaji pemain dan staf pasukan Liga Super, Piala Presiden dan Piala Belia B-19 Kuala Lumpur.
Pemain pertahanan Kuala Lumpur, Fitri Omar turut mengesahkan beliau dan rakan sepasukan sudah menerima gaji mereka sejak beberapa hari lalu serta tidak sabar menghadapi perlawanan yang seterusnya.
“Alhamdulillah lega. Ia sensitif kerana kami mahu bekerja. Jika kewangan begitu, fokus kami akan terganggu. Akhirnya KLFA sudah membayarnya dan kini masa buat pemain bekerja keras dan menghadiahkan kemenangan,” katanya.
Difahamkan, semua gaji yang tertunggak tersebut sudah pun dibayar pada 30 Januari lalu, iaitu dua hari sebelum sepak mula Liga Super menentang Pahang.
Namun, KLFA hanya menyelesaikan tunggakan gaji untuk bulan November dan Disember 2018 manakala gaji untuk bulan Januari 2019 akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Pengendali Kuala Lumpur, Yusri Che Lah mengakui isu gaji adalah perkara yang sensitif dan beliau berharap tunggakan gaji tidak berlaku lagi pada masa yang akan datang kerana mampu memberi kesan kepada pasukannya.
“Ia satu tonik untuk pasukan dan saya mengharapkan perkara itu tidak akan berlaku lagi. Semua sedia maklum bahawa isu gaji adalah perkara sensitif,” ujar Yusri Che Lah.
Gaji yang tertunggak selama dua bulan sebelum ini mencetuskan kontroversi sehingga menyebabkan berlaku perpindahan bintang pertahanan, Syazwan Andik Mohd Ishak, ke Johor Darul Ta’zim (JDT).
Skuad Kuala Lumpur akan bertandang ke Larkin untuk menentang JDT dalam perlawanan kedua Liga Super pada hari jumaat ini.