Ia mungkin salah satu hukuman paling berat dalam bola sepak. Ini apabila pemain remaja berusia 15 tahun di Perancis telah digantung 30 tahun kerana menumbuk pengadil.
Jadi, beliau hanya akan kembali beraksi di atas padang pada 2047 dan ketika itu sudah berusia 45 tahun.
Kejadian itu berlaku dalam perlawanan bola sepak remaja di bandar Lyon. Remaja tersebut telah menumbuk pengadil di bahagian dagu dan mengakibatkan kecederaan.
Walaupun kecederaan itu tidak serius tetapi, Persatuan Bola Sepak Lyon telah bertegas di dalam hal-hal seperti ini supaya pemain-pemain remaja belajar untuk berdisiplin sejak dari usia muda.
Langkah ini untuk menyiapkan mereka menjadi pemain yang memiliki mentaliti yang baik, bukan sahaja bergantung pada bakat.
Salah seorang lagi pengadil, Jaouad El-Biyaali menanggap hukuman itu terlalu berat untuk remaja tersebut dan tidak pernah mendengar hukuman seberat itu. Tetapi beliau bersetuju dengan hukuman itu.
Jaouad memberitahu, remaja yang beraksi untuk AS Villefontaine itu memiliki rekod disiplin yang buruk. Dia pernah diberikan amaran kerana menyerang secara fizikal dan verbal jurulatih dan juga rakannya sebelum ini.
Manakala di Britian mulai musim ini, mereka juga memperkenalkan hukuman gantung 5 tahun untuk mana-mana pemain remaja yang menyerang pengadil.
Sumber
Telegraph – http://www.telegraph.co.uk/news/2017/10/24/teenage-french-footballer-handed-30-year-ban-punching-referee/