Pengendali Chelsea, Thomas Tuchel kini tidak lagi mahu pemain tengahnya iaitu Jorginho untuk mengambil sepakan penalti buat kelabnya.
Untuk beberapa musim, Jorginho memang mengambil sepakan penalti untuk Chelsea dengan beliau sudah pun dikenali dengan corak yang unik.
Jorginho dikenali sebagai pemain yang mengambil penalti dengan melakukan lonjakan minit akhir untuk mengelirukan penjaga gol lawan.
Dengan cara begitu, Jorginho dapat melihat terlebih dahulu ke mana arah penjaga gol akan terbang dan boleh menukar arah sepakan pada minit-minit akhir.
Namun begitu, gaya sepakan tersebut barang kali tidak lagi akan dapat dilihat selepas ini dalam mana-mana perlawanan Chelsea.
Hal ini disebabkan, Tuchel kini mahu memberikan lebih peluang kepada pemain lain terutamanya penyerang-penyerangnya untuk mengambil sepakan dari jarak 12 meter.
Pada hemat Tuchel, penyerang-penyerang kurang berkeyakinan untuk menjaringkan gol jadi sepakan penalti boleh membantu.
“Mungkin kira perlu tarik balik arahan mengambil penalti daripada Jorginho.
”Bagi para penyerang, mengambil sepakan penalti dapat menaikkan nombor (jaringan) mereka secara dramatik – jika kita berikan lapan, sembilan, sepuluh penalti kepada mereka,” kata Tuchel.
Akan tetapi, walaupun tengah berusaha mahu baiki kualiti penyerangnya, Tuchel juga dilema kerana mahu memastikan kemenangan memihak Chelsea.
Tuchel menghargai kenyataan yang Jorginho adalah pengambil sepakan penalti yang cemerlang dan sukar untuk dicari ganti.
”Tapi siapa yang nak ambil penalti dari Jorginho? Sudahnya kemenangan yang kami mahu cari. Beliau adalah pengambil penalti yang cemerlang!”