Semalam di Vincarage Road menyaksikan Chelsea terus kecewa apabila ditewaskan oleh Watford.
Kalahnya bukannya sedikit, tetapi mereka tewas 4-1!
Dengan masa depan Antonio Conte semakin tidak menentu sudah pastinya menjadi tumpuan selepas perlawanan tersebut berakhir, namun begitu ada satu perkara lain yang turut menjadi tumpuan.
Semalam menyaksikan teraju utama pasukan Watford iaitu Troy Deeney melakukan tindakan kontroversi selepas menjaringkan gol pertama pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti.
Beliau meraikan gol beliau pada separuh masa pertama dengan menunjukkan jari tengah kepada para penyokong Chelsea.
Tindakan itu dipercayai dilakukan kerana Deeney memberikan respon kepada para penyokong Chelsea yang dibelakang gol yang memberikan provokasi kepada pemain tersebut.
Apa yang dilakukan oleh Deeney itu nyata memperoleh perhatian semua pihak dengan lensa kamera jelas dapat merakam tindakan pemain itu.
Malah, ia juga tidak terlepas dari perhatian FA England.
Deeney dikatakan bakal berhadapan dengan tindakan dari badan induk bola sepak England itu selepas tindakan beliau yang menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong lawan.
Sekiranya tindakan diambil terhadap kapten Watford itu, Deeney dijangka berhadapan dengan tindakan digantung beberapa perlawanan dan juga bayaran denda.
Watford menewaskan Chelsea 4-1 dengan 3 gol pasukan tuan rumah hadir pada 10 minit terakhir permainan.
Deeney, Daryl Janmaat, Gerard Deulofeu dan juga Roberto Pereyra menjaringkan gol untuk Watford sementara Eden Hazard menjaringkan gol untuk Chelsea.