Pernahkah anda terfikir ada kelab bola sepak yang dimainkan berhampiran kawasan Kutub Utara?
(Melainkan anda pengikut fakta Bumi itu rata).
Sebenarnya memang ada sebuah kelab bola sepak berstatus profesional yang tidak jauh dengan Kutub Utara atau nama lainnya ialah Artik. Kelab itu terletak salah satu negara Scandinavia iaitu Norway.
Tromso IL
Kelab yang bertuah ini bernama Tromso Idrettslag atau dikenali sebagai Tromso IL. Kelab ini berpangkalan di sebuah bandar bernama Tromso yang dalam wilayah Norway Utara.
Tromso IL ditubuhkan pada 15 September 1920 sebagai Tromsø Turnforenings Fotballag. Kemudian mereka mengambil keputusan menukar nama kepada yang kita ketahui pada hari ini.
Seperti kelab sukan di Eropah, mereka pun ada beberapa sukan lain yang di bawah jenama Tromso. Salah satunya ialah meluncur salji.
Mereka sebenarnya tidak pernah memenangi liga Norway. Kedudukan paling terbaik pun dalam liga ialah menduduki tangga kedua pada musim 1990 dan 2011. Pada 2010, mereka menduduki tangga ke-3 liga.
Tetapi mereka mempunyai dua trofi Piala Norway pada 1986 dan 1996.
Aksi Eropah
Pada musim 2013-14, mereka beraksi sejauh pusingan kumpulan dalam Liga Europa.
Sebenarnya kisah perjalanan mereka pada musim tersebut amat menarik. Tromso berkedudukan ke-15 Liga Norway pada musim 2013. Tromso sah beraksi dalam Liga Kedua Norway musim seterusnya.
Dek kerana peraturan ‘Fair Play’ UEFA, mereka dianugerahkan slot ke Liga Europa dan bermula dari pusingan pertama kelayakan. Malah, pada ketika itu, UEFA masih membenarkan kelab divisyen kedua beraksi dalam Liga Europa jika mereka meraih slot ‘Fair Play’ atau memenangi piala domestik.
Tromso menewaskan Celje (Slovenia) dalam pusingan pertama kelayakan. Dalam pusingan kedua kelayakan, Tromso berjaya mengalahkan Inter Baku dari Azerbaijan.
Sewaktu pusingan ketiga kelayakan, Tromso telah menumbangkan Differdange dan bertemu kelab Turki, Besiktas dalam pusingan play-off.
Besiktas pada asalnya telah menewaskan kelab Norway ini dan mara ke pusingan kumpulan. Tetapi UEFA telah menggantung Besiktas disebabkan skandal mengatur keputusan perlawanan.
Tromso akhirnya diberikan peluang beraksi dalam pusingan kumpulan Liga Europa. Dalam pusingan kumpulan, Tromso hanya mencatatkan seri satu perlawanan sahaja. Itu pun ketika menentang Sheriff Tiraspol dari Moldova.
Mereka tewas 5 perlawanan lainnya.
Nun jauh di utara
Pasukan yang akan ke Tromso akan menghadapi perjalanan jauh ke utara. Ini termasuklah mana-mana pasukan Eropah lain yang pernah bertandang ke stadium mereka.
Cuba anda bayangkan, pernah sekali rombongan kelab paling selatan di Norway, IK Start terpaksa mengharungi perjalanan sangat jauh. Mereka menempuh jarak perjalanan lebih kurang 2000 kilometer untuk perlawanan di Tromso.
Selain itu, stadium mereka ini pernah dikritik kerana kurang diselenggara dengan baik. Pernah terjadi ketika sewaktu perlawanan penghujung musim 2005, padang mereka rosak teruk kerana cuaca.
Sedangkan mereka memasang rumput tiruan di stadium mereka, Alfheim Stadion.
Kenapa dikatakan kelab ini jauh nun di utara? Sebenarnya bandaraya Tromso ini sudah melebih 350 kilometer utara Garis Artik.
Pernah sekali perlawanan UEFA Europa League (ketika itu UEFA Cup), perlawanan antara Tromso menentang Red Star Belgrade terpaksa dimainkan dalam cahaya lampu limpah. Ini disebabkan bandaraya Tromso tidak menerima cahaya matahari dalam tempoh lebih kurang 4 bulan.
Keunikan
Bola sepak masih dijadikan hiburan bagi penduduk Tromso. Keunikan mereka ini telah mencoretkan nama mereka di peta dunia.
Namun, sudah lama mereka tidak beraksi di dalam kejohanan UEFA. Mungkin suatu hari nanti Tromso akan kembali.