Travelog Piala AFF 2022: Cabaran Banjir Besar Di Selatan Thailand

Selepas mengharungi fasa pertama dari Kuala Lumpur ke Kuala Lipis, Pahang dan seterusnya ke Wakaf Bharu, Kelantan, fasa kedua merangkumi perjalanan sejauh 1,200 kilometer (km) untuk ke Bangkok, Thailand.

Baca fasa pertama di sini:

Travelog Piala AFF 2022: Keunikan Kuala Lipis Sempurnakan Perjalanan Fasa Pertama

Perjalanan dimulakan seawal selepas waktu subuh sebaik sahaja menyelesaikan kewajipan di Masjid Sultan Mansor di Kampung Sireh, Kota Bharu.

Pergerakan menuju ke Rantau Panjang menggunakan kereta berjalan lancar meskipun cuaca buruk hujan lebat berterusan sejak tengah malam masih tidak menunjukkan tanda-tanda berhenti.

Tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), perjalanan melintasi sempadan menyeberangi jambatan Sungai Golok(Su-ngai Kolok dalam bahasa Thailand) pada awalnya dirancang dengan hanya berjalan kaki perlu melepasi

Namun ia terpaksa diubah dengan mendapatkan khidmat motosikal oleh penduduk tempatan bagi melepasi dua pusat pemeriksaan utama iaitu Imigresen Malaysia dan Imigresen Thailand dan seterusnya ke Stesen Kereta Api Sungai Kolok.

Harga tiket kereta api dari Sungai Kolok ke Hat Yai hanyalah BHT42 (RM5.30) untuk tempat duduk bogie kelas 3. Ia adalah tiket kategori paling murah kerana menggunakan gerabak kereta api jenis lama dan pembelian tiket boleh dibuat terus di kaunter tiket.

Pembelian tiket kereta api dari Hat Yai ke Bangkok juga dibuat terus dengan memilih kereta api ekspres dengan pilihan katil kelas kedua yang berharga 905 baht (RM115).

Kereta api mula bergerak pada jam 10.00 pagi (9.00 pagi waktu Thailand) dan keadaan cuaca masih hujan lebat berterusan. Pemeriksaan dibuat oleh konduktor tiket beruniform sambil dikawal oleh 2 orang anggota Tentera Diraja Thailand yang lengkap bersenjata.

Ia merupakan situasi normal bagi pengangkutan awam kereta api di Selatan Thailand disebabkan ancaman keselamatan oleh kumpulan gerila. Apatah lagi hanya beberapa hari yang lalu berlaku dua kejadian pengeboman di landasan kereta api dari Hat Yai ke Padang Besar.

Satu kekurangan besar bagi kereta api jenis lama ini adalah tingkapnya tidak dibenarkan dibuka di atas sebab cuaca dan keselamatan. Maka sukar untuk menikmati pemandangan luar sepanjang perjalanan.

Selatan Thailand dan bola sepak

Terdapat 31 stesen dari Sungai Kolok ke Hat Yai dan perjalanan nampaknya berjalan lancar melalui satu demi satu stesen melalui empat wilayah iaitu Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.

Berdasarkan semakan, tiada pasukan di bahagian selatan Thailand yang bersaing di liga utama negara iaitu Thai League 1. Pasukan terbaik adalah Krabi FC yang  yang kini beraksi di Thai League 2.

Kesemua pasukan-pasukan lain di Selatan Thailand kini sedang bersaing di liga divisyen ketiga atau Thai League 3 bagi zon selatan yang terdapat 12 pasukan iaitu Songkhla FC, Nara United, Trang FC, Young Singh Hatyai United, Wiang Sa Surat City, Pattani FC, MH Nakhon City, Phuket Andaman FC, Muang Trang United, Phattalung FC, Jalor City dan Mueng Kon D United.

5 zon lain dalam saingan Thai League 3 atau disebut sebagai Championship adalah zon utara, barat, timur, timur laut dan metropolitan bangkok yang kesemuanya sebanya 75 pasukan.

Namun masih banyak pemain profesional berasal dari Selatan Thailand yang berpeluang beraksi di peringkat tertinggi.

Antara yang boleh disenaraikan adalah Supachai Chaided yang berasal dari Pattani, seterusnya Nurul Sriyankem (Phatthalung), Adul Lahsoh (Phatthalung) Sompong Soleb (Satun), Adisak Ganu (Satun), Abdulhafiz Buaraheng (Narathiwat), Airfan Doloh (Narathiwat).

Rahmat ujian

Sebaik sahaja tiba di stesen Chana (hanya tiga stesen dari Hat Yai) pada jam 1.00 tengah hari, semua penumpang telah dimaklumkan bahawa kereta api tidak dibenarkan bergerak ke stesen seterusnya kerana landasan kereta api telah mula ditenggelami banjir.

Perjalanan ke Hat Yai yang masih berbaki 40 km diteruskan dengan menaiki Songthaew atau ‘rows two’, iaitu sejenis kenderaan awam seperti bas, tetapi menggunakan trak yang membawa penumpang.

Bagaimanapun pemandu tersebut memaklumkan terdapat kemungkinan perjalanan ke Hat Yai terkandas sekiranya jalan raya turut dinaiki oleh air disebabkan keadaan hujan lebat masih berterusan.

Ia ternyata benar apabila air banjir sudah mula naik di atas jalan raya, tetapi masih boleh diredah dengan gagah oleh Songthaew sehinggalah tiba di Terminal Bas Hat Yai kira-kira jam 3.00 petang.

Walaupun terlewat satu jam daripada jadual asal, masih terdapat masa untuk ‘merayau’ di kawasan sekitar untuk makan, mendapatkan kad sim dan mencari bekalan makanan.

Sebaik sahaja tiba di stesen kereta api, satu lagi berita buruk diterima iaitu semua kereta api menuju ke arah utara termasuk ke Bangkok dibatalkan sehingga tarikh yang tidak diketahui di atas sebab kerosakan landasan akibat banjir.

Berita-berita di media sosial sudah menyiarkan tentang keadaan Hat Yai yang mula ditenggelami banjir, begitu juga dengan beberapa kawasan di Malaysia terutamanya di Kelantan dan Terengganu yang baru sahaja kami tinggalkan pada awal pagi itu.

Kembali ke terminal bas, usaha untuk mendapatkan bas ekspress juga gagal kerana semuanya telah penuh. Pilihan lain adalah mendapatkan ‘bas khas’ dengan tiket berharga 990 baht (RM125).

Dalam keadaan terdesak, harga tersebut dipersetujui memandangkan harga tiket penerbangan jauh lebih tinggi. Bas tersebut bertolak dari Hat Yai pada jam 9.00 malam.

Ujian seterusnya adalah kesesakan sepanjang 10 kilometer dalam laluan untuk melepasi sempadan wilayah Songkhla ke wilayah Patthalung akibat banjir yang sudah mula naik ke atas jalan raya.

Ia memakan masa hampir 4 jam dan ketika itulah perlawanan akhir Piala Dunia di antara Argentina dan Perancis sedang berlangsung. Mujurlah teknologi hari ini membolehkan ia ditonton di skrin telefon bimbit.

Bas akhirnya berjaya melepas banjir dan berhenti berehat di Surat Thani pada waktu subuh hari berikutnya dan beberapa berhenti di beberapa kawasan rehat.

Tidak cukup dengan itu, kemuncak ujian adalah pada petangnya ketika di Kui Buri. Bas secara tiba-tiba bergerak perlahan dan berhenti di bengkel berdekatan kerana mengalami kerosakan.

Semua penumpang terpaksa menunggu untuk kerja-kerja baik pulih diselesaikan. Ada juga penumpang yang memilih untuk menempah van penumpang bagi meneruskan perjalanan ke Bangkok yang masih berbaki 250 km.

Bas kembali bergerak pada jam 6.00 petang ketika hari hampir gelap. Hasil persetujuan, pengendali bas bersetuju untuk menurunkan penulis di Samut Songkhram dan tiba di destinasi pada jam 8.45 malam dan terus mendaftar masuk ke hotel berdekatan.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN