Persaraan Francesco Totti daripada bola sepak profesional telah diumumkan oleh A.S Roma 4 hari yang lalu.
Kini timbul desakan dan persoalan kewajaran sama ada jersi No.10 yang digunapakai oleh Totti sejak musim 1997/98 turut dibersarakan.
Amalan menggantung atau membersarakan jersi bukanlah perkara asing dalam bola sepak Eropah terutamanya di Itali.
Di A.C Milan, jersi bernombor 3 dibersarakan dan hanya boleh digunapakai oleh keluarga Maldini. Di Ajax Amsterdam, jersi nombor 14, dibersarakan atas penghormatan untuk mendiang Johan Cruyff.
Kini timbul idea untuk menggantung jersi No. 10 yang digunapakai oleh ikon bandar Rom, Francesco Totti. Bagaimanapun, idea ini ditentang oleh pengurus A.S Roma, Luciano Spalletti.
“Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak pernah membiarkan jersi no.10 mati. Tindakan (membersarakan) adalah sesuatu yang memalukan, dan langkah ini bukanlah berbentuk penghargaan.”
Demikian jelas Spalletti dalam satu laporan yang disiarkan oleh Football Italia.
Sebelum Totti, jersi berkenaan disarung dan dimiliki oleh Giuseppe Giannini. Giannini juga merupakan seorang lagenda di A.S Roma, membuat sejumlah 318 penampilan dan menjaringkan 49 gol untuk kelab Rom berkenaan.
Giueseppe Giannini bagaimanapun mengakhiri karier bola sepak profesional beliau di Leece.
“Idea adalah gaya pemikiran lapuk. Jika anda ingin menghargai Totti, tulislah nama Totti di setiap nombor jersi.”
“Membersarakan jersi No.10 hanya akan merencatkan keinginan pemain lain yang ingin menjadi bangga mewarisi legasi peninggalan Totti, ” jelas Spalletti dengan panjang lebar.
“Mari kita pastikan jersi berkenaan terus hidup. Ia perlu ada kesinambungan kerana ia membawa semangat kehebatan Totti. Untuk berbuat sebaliknya, adalah perkara yang tidak betul.” katanya lagi.
Mengenai komen Monchi yang merasakan Totti berhak menjadi Pengarah Roma, Totti berkata beliau akan mengumumkan langkah seterusnya dalam karier beliau setelah musim Serie A ini tamat.
Roma kini berada pada kedudukan terbaik untuk memintas Napoli untuk mengakhiri Serie A sebagai naib juara, di belakang Juventus.
Untuk musim ini, Totti telah membuat keseluruhan 15 kemunculan untuk skuad. Totti telah menjaringkan dua gol, dan menghasilkan 3 bantuan gol daripada keseluruah 15 peluang yang beliau hasilkan.
Totti turut berbangga dengan kadar 100% kejayaan melepasi kekangan lawan.
Baca juga: Selamat Bersara Jeneral Rom Francesco Totti, Trequartista Dan False 9 Unggul