Selamat Bersara Jeneral Rom Francesco Totti, Trequartista Dan False 9 Unggul

Semalam kita mendengar pengumuman rasmi bahawa musim ini sah sebagai musim terakhir Francesco Totti sebagai pemain bola sepak profesional.

Exercitus Romanus (Roman Army) adalah terma yang sering digunakan untuk merujuk kepada angkatan perang Kerajaan Rom purba.

Sejarah awal Kerajaan Rom lahir sekitar 500 sebelum masihi. Kemudiannya berevolusi menjadi sebuah empayar sekitar tahun 31 sebelum masihi sehingga 476 selepas masihi sebelum memasuki era Byzantine pada tahun 1081-1024.

Terma tersebut telah digunakan lebih kurang 2206 tahun yang lalu, pada ketika angkatan tentera Rom mengerunkan jajahan takhluknya.

Exercius Romanus turut melahirkan ramai jeneral perang yang pada hari ini diangkat sebagai lagenda di Kota Rom.

T. Quinctius Flaminus, Flavius Aetius, Marcus Vipsanius Agippa, Gnaeus Pompeius Magnus dan Gaius Julius Caesar adalah nama yang mewarnai kemegahan Exercius Romanus pada satu ketika dahulu.

Di era moden ini, kita akan menyingkap satu lagi nama hebat dalam sejarah Rom. Stadio Olimpico adalah arenanya. A.S Roma adalah Exercius Romanus. Generalnya diberikan nama Francesco Totti.

Francesco Totti

Francesco Totti dilahirkan pada 27 September 1976 di Rom, Itali. Ayahnya, Lorenzo adalah seorang kerani di sebuah bank dan ibunya, Fiorella adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

Kehidupan Totti sentiasa mengejutkan mereka yang mengenalinya walaupun ketika masih bayi.

Totti mulai berjalan pada usia 9 bulan dan pada usia 4 tahun dia mulai menonton secara serius perlawanan-perlawanan bola sepak yang disiarkan di televisyen.

Francesco Totti ketika debut beliau pada umur 16 tahun.

Pada satu ketika, ketika percutian keluarga, Totti terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak berumur sekitar 8 tahun sedang bermain bola sepak di tepian pantai.

Saiz yang kecil pada usia 4 tahun menyebabkan kanak-kanak itu meminggirkannya. Kasihan dengan anaknya Totti, Enzo meyakinkan kumpulan itu untuk membenarkan anaknya menyertai mereka.

Apa yang berlaku selepas itu adalah keajaiban. Totti menunjukkan bakat luar biasa, menggelecek dan seolah-olah menari dengan bola melepasi kumpulan kanak-kanak itu.

Nyata sekali, Francesco Totti punyai bakat semulajadi, seolah-olah sudah dinubuatkan lahir sebagai lagenda hebat Kota Rom!

Karier Awal A.S ROMA

Tidak sukar untuk membuat kajian akan karier Francesco Totti. 25 tahun karier hebat berpusat di Kota Rom, bersama-sama A.S Roma. Beliau menyertai akademi sebuh kelab di Rom, Fortitude pada usia 8 tahun.

Totti kemudiannya beraksi untuk pasukan remaja, Smit Trastevere and Lodigani sebelum menarik perhatian barisan pencari bakat remaja A.S Roma pada tahun 1989.

Francesco Totti ketika aksi menentang Inter Milan.

Debut Serie A Totti ialah pada 28 Mac 1993, dalam kemenangan menentang Brescia. Totti berusia 16 tahun pada ketika itu.

Gol pertama beliau hanya hadir pada musim berikutnya ketika A.S Roma mencatat keputusan seri 1-1 menentang Foggia pada 4 September 1994.

Francesco Totti menjadi pemain utama A.S Roma sejak daripada itu.

Posisi Awal- Sayap Kiri (Zdenek Zeman)

Francesco Totti memulakan karier awalnya di A.S Roma sebagai seorang pemain sayap kiri. Di bawah kendalian pengurus Zdenek Zeman, Totti menggunakan sepenuhnya kepercayaan yang diberikan dalam formasi 4-3-3.

Totti gemar berhadapan dengan pertahanan lawan, melakukan “cut inside” yang mengelirukan dan melepaskan rembatan deras melepasi penjaga gol pasukan lawan.

Musim pertama penuh pada 1997/1998, Totti menjaringkan sejumlah 13 gol membantu Roma menduduki tempat ke-4 Serie A.

Aksi Di UEFA Champions League.

Kehebatan Totti pada musim tesebut diiktiraf oleh majalah bola sepak terkenal di Itali, Guerin Sportivo dengan anugerah Guerin d’Oro walaupun tidak ke Piala Dunia 1998 bersama skuad Azzuri.

Zdenek Zeman dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab mematangkan Francesco Totti dari segi fizikal dan mental, menjadikan Totti pemain tersohor sehingga ke hari ini.

Menjadi trequartista di bawah Fabio Capello

Pada musim panas 1999, Zdenek Zeman dipecat oleh A.S Roma dan melantik Fabio Capello untuk misi menjulang Scudetto.

Skuad A.S Roma pada masa itu diubah oleh Capello dengan berpusatkan Totti. Formasi 3-4-1-2 diperkenalkan dan Totti diubah daripada seorang pemain sayap kepada pemain tengah menyerang.

Kebolehan menghantar bola dan kreativiti Totti nyata membuahkan hasil dalam sistem yang diperkenalkan oleh Fabio Capello.

Totti meraikan jaringan menentang Parma.

Pada 17 June 2001, gandingan Francesco Totti, Vicenzo Montella (kini pengurus A.C Milan) dan Gabriel Batistuta masing-masing menjaringkan satu gol menewaskan Parma 3-1 di Stadio Olimpico.

Kemenangan 3-1 itu menjamin Scudetto pertama Totti dan ketiga dalam sejarah kelab A.S Roma. Totti dan A.S Roma turut menjulang Supercopa Italiana pada pembukaan musim berikutnya.

Totti turun memimpin A.S Roma muncul di final Copa Italia pada musim 2002-03, tewas 6-3 kepada A.C Milan secara agregat.

A.S Roma turut muncul naib juara Serie A pada musim 2003-04, juga menyaksikan A.C Milan menafikan Totti dan A.S Roma satu lagi kejayaan.

Totti turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Serie A pada tahun 2000, 2001 dan 2003 untuk kemunculan hebatnya bersama A.S Roma

Dari trequartista kepada 9 jadian di bawah Spaletti

Musim 2004-2005 adalah musim yang mengecewakan buat Totti dan A.S Roma. Beberapa pemain utama mulai meningalkan kelab Rom berkenaan, tetapi Totti tetap kekal di Stadio Olimpico.

Kehadiran Luciano Spaletti sebagai pengurus baharu kelab, sekali lagi mengubah formasi utama pasukan kepada 4-2-3-1. Kali ini Totti diberikan peranan lebih offensif, bermain seperti seorang penyerang tunggal.

Sistem ini membuatkan Roma seperti bermain tanpa penyerang dalam formasi yang seperti 4-6-0

Posisi yang digelar false no.9 kerana Totti adalah seorang trequartista. Beliau bukan no.9 sejati.

Trequartista adalah merujuk kepada posisi di belakang penyerang ataupun di garisan 3/4 zon serangan terakhir di dalam padang.

Ia adalah baka pemain tengah serangan ataupun universalnya attacking midfielder. Namun kedudukan dan sifat trequartista lebih berada di garisan atas serta lebih lincah.

Dari itulah kosa kata false no.9 ataupun 9 jadian serta Trequartista menjadi bualan di seluruh dunia kerana kemampuan pemain ini bermain sebagai penjaring gol dalam sistem serangan yang terapung (floating).

Walaupun bermain di posisi yang sepatutnya lebih banyak beroperasi di dalam kotak penalti, Totti sering kali turun untuk membantu bahagian tengah sekaligus membuka rakan di possisi tengah untuk menjaringkan gol.

Pemain ini membuatkan pertahanan lawan sukar untuk mengawal beliau. Francesco Totti mengekalkan konsistensi beliau di bawah pengurusan Luciano Spaletti.

Totti muncul sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah kelab A.S Roma dengan jaringan ke 107 dalam karier Serie A ketika menentang Parma. Rekod itu depegang oleh Roberto Pruzzo sebelum ini.

Milan, ITALY: AS Roma Captain Francesco Totti celebrates the Tim Cup win against Inter Milan after their Italian Coppa Italia second leg final football match at Milan’s San Siro Stadium, 17 May 2007. Roma lost the match 2-1 after a 6-2 home win last week. AFP PHOTO / FILIPPO MONTEFORTE (Photo credit should read FILIPPO MONTEFORTE/AFP/Getty Images)

Pada musim 2007-2008, Totti membawa Roma menjuarai Coppa Italia menewaskan Inter Milan di final yang juga merupakan juara Serie A pada musim tersebut.

Totti juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Serie A buat kali ke-5 pada musim tersebut.

Itali

Francesco Totti membuat sejumlah 58 penampilan bersama pasukan kebangsaan Itali, menjaringkan keseluruhan 9 gol dalam karier antarabangsa.

Di peringkat antarabangsa, Totti muncul dalam dua final kejohanan utama. Pada tahun 2000, Totti muncul bersama Itali dalam final UEFA Euro 2000 yang berlangsung di Belanda.

Itali mendahului Perancis 1-0 pada minit ke-55 hasil jaringan Marco Delvecchio.

Bagaimanapun, Sylvain Wiltord menyamakan kedudukan pada minit ke-3 masa kecederaan sebelum David Trezeguet meranapkan impian Totti dan Itali muncul juara Euro 2000.

Perancis menang 2-1 selepas tamat masa tambahan.

Piala Dunia 2006 menjanjikan kejayaan paling manis dalam karier jeneral Roma ini. Olimpiastadion, Berlin dipilih untuk menjadi arena untuk final Piala Dunia 2006 yang dianjurkan di Jerman.

Perancis sekali lagi menjadi lawan, sepertimana ketika final Euro 2000 yang lalu.

Keputusan 90 minit perlawanan diakhiri dengan jaringan 1-1. Marco Materazzi menyamakan kedudukan 1-1 setelah Znedine Zidane meletakkan Perancis di hadapan seawal minit ke-7 melalui sepakan penalti.

Perlawanan yang lebih diingat kerana layangan kad merah Zidane kerana tandukan ke arah dada Materazzi dimenangi oleh Itali melalui penentuan sepakan penalti.

Totti yang dikeluarkan selepas sejam permainan masa sebenar, bergelar juara dunia bersama Itali melalui sepakan penalti, menewaskan Perancis untuk kejuaraan Piala Dunia ke-4 negara itu.

Rumusan

Karier Francesco Totti mungkin tidak semewah bintang-bintang bola sepak yang lain dari segi hiasan trofi. Namun beliau tetap berbangga dengan apa yang dimiliki beliau.

Ini kerana harga kesetiaan adalah lebih penting daripada segalanya. Beliau mendapat banyak tawaran mewah dari kelab lain ketika era kegemilangannya namun Totti tetap kekal bersama Roma.

8 kali muncul naib juara Serie A Itali, 5 kali naib juara Coppa Italia cukup untuk merumuskan nasib kurang menyebelahi beliau.

Tidak ada Ballon d’ Or atau Pemain Terbaik FIFA. Tetapi kesetiaan, kepimpinan dan kehebatan yang menjadikan Totti sebagai ikon di Roma wajar diingati.

616 penampilan, 250 gol menjadikan Totti antara pemain bola sepak terhebat pernah dilahirkan di Itali.

Exercitus Romanus yang sejati. Mungkin begitulah cara paling sesuai untuk mengambarkan jiwa Totti kepada A.S Roma.

Francesco Totti bukanlah jeneral yang melawan mengunakan pedang untuk mencapai gemilang.

Tetapi pesona bola sepak yang dibawa oleh Totti pasti akan kekal terpahat sebagai jeneral bola sepak Rom terhebat pernah dilahirkan.

Selamat bersara buat Jeneral Rom Moden, Francesco Totti. Yang pasti beliau antara ramai di antara kita mengenali trequartista false no.9 ataupun 9 jadian dengan lebih dekat.

Memang peranan ini bukan baru dalam bola sepak, tetapi Francesco Totti berada dalam kelas tersendiri untuk peranan ini. Selepas itu barulah muncul nama seperti Lionel Messi.

Kami di semuanyaBOLA menganggap beliau adalah bakat istimewa dalam dunia bola sepak terutama sekali dalam taktikal bola sepak.

Baca juga: Monchi Sahkan Francesco Totti Bersara Akhir Musim Ini, Bakal Jadi Pengarah Roma

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN