Kemenangan besar 4-1 yang diraih oleh Tottenham ke atas pasukan Liverpool minggu lalu, ia bermakna pelawat akan tampil dengan penuh keyakinan walaupun mereka dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada West Ham United dalam saingan Piala Liga, awal pagi semalam.
Pertemuan Manchester United dan Tottenham Hotspur di Old Trafford, Sabtu ini seakan sudah membentuk persaingan awal musim untuk mencabar pendahulu, Manchester City bagi merebut gelaran juara Liga Perdana Inggeris.
“Spurs tahu ia akan menjadi ukuran buat mereka sendiri apabila bermain di sana (Old Trafford).
“Namun, saya tidak fikir kedua-dua keputusan terdahulu akan mengubah mentaliti Jose Mourinho. Harapan di Old Trafford sentiasa mahukan kemenangan.
“Ia bukan satu tugas mudah apabila berdepan pasukan yang memiliki banyak pilihan pemain,” kata bekas penolong pengurus United, Mike Phelan
United yang menghuni tangga kedua dengan kelebihan gol kelihatan berhati-hati dengan semua pasukan liga ketika ini. Disamping itu, mereka kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan dan harapan mereka terletak kepada Romelu Lukaku untuk merobek gawang Spurs.
Ketika berdepan Real Madrid, Spurs bermain dengan taktikal meletakkan Fernando Llorente sebagai sasaran utama, manakala menentang Liverpool, mereka menampilkan corak permainan pantas menerusi gandingan Son Heung Min dan Harry Kane.
Adanya Kane, Spurs mempunyai penyerang yang berprestasi baik daripada pemain United, Romelu Lukaku selepas meledak sembilan gol dalam enam perlawanan sementara pertahanan mereka juga lebih konsisten berbanding United yang kehilangan khidmat Eric Bailly.
Walaupun kehadiran semula Phil Jones dijangka mampu memastikan tiada ulangan kekecewaan minggu lalu apabila tewas 1-2 di Huddersfield Town, Mourinho yang dikritik hebat menyifatkan ketiadaan Paul Pogba merosakkan persembahan mereka awal musim ini.
Manchester City juga tampak kehilangan sesuatu pada pertengahan minggu ini, mereka tidak menjaringkan gol selama 120 minit berdepan kelab Liga Kejuaraan, Wolverhampton Wanderers dalam saingan Piala Liga tetapi berjaya meraih kemenangan menerusi penentuan penalti.
Sergio Aguero masih mencari satu gol lagi untuk membolehkan dia mencipta rekod penjaring sepanjang zaman kelab itu dan akan kembali menentang West Bromwich Albion, esok.
Bagi pengurus Liverpool, Juergen Klopp pula, beliau mungkin merasai lebih tekanan walaupun dengan sebab yang berbeza.
Berdepan kekecewaan dengan persembahan longlai di Wembley minggu lalu, Klopp memerlukan kebangkitan segera anak buahnya apabila menentang Huddersfield yang baru mengejutkan United.