Tottenham Hotspur jelas tidak boleh menerima kelakuan bodoh penyokong mereka sendiri yang terlalu dibawa-bawa dengan emosi apabila mengasari penjaga gol Arsenal iaitu Aaron Ramsdale.
Dalam aksi North London Derby semalam di Tottenham Hotspur Stadium, seorang penyokong Spurs telah membuat tindakan bodoh apabila menerajang Ramsdale ketika perlawanan sudah pun tamat.
Situasi tersebut berlaku selepas wisel penamat ditiupkan dengan seorang penyokong tuan rumah datang dari belakang gol untuk menerajang Ramsdale.
Tindakan itu jelas sekali menimbulkan keadaan tegang melibatkan kedua-dua pasukan dengan Granit Xhaka terpaksa dihalang oleh Mikel Arteta daripada campur tangan dan menyebabkan situasi semakin parah.
Perbuatan jelek itu sememangnya tidak boleh diterima oleh Spurs yang kemudiannya memilih untuk memberikan hukuman paling berat kepada penyokong itu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Spurs, mereka mahu memastikan insiden serupa tidak akan berlaku lagi di stadium mereka.
“Kami terperanjat dengan kelakuan seorang penyokong yang cuba menyerang penjaga gol Arsenal Aaron Ramsdale di penghujung perlawanan hari ini. Keganasan sebegitu tidak ada tempatnya dalam bola sepak.
“Pihak kelab akan menilai semula rakaman CCTV untuk mengenal pasti penyokong dan akan bekerjsama dengan pihak polis, Arsenal dan Aaron Ramsdale untuk mengambil tindakan yang paling keras termasuklah pengharaman segera untuk masuk ke Tottenham Hotspur Stadium,” kata Spurs.
Insiden itu turut mendapat perhatian FA England yang turut mengecam perbuatan penyokong tersebut.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya insiden melibatkan penyokong dalam aksi Premier League antara Tottenham Hotspur dan juga Arsenal.
“Ini adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima dan kami akan bersama-sama polis serta pihak berkaitan serta kedua-dua kelab untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil,” kata FA England.
Arsenal menang semalam hasil jaringan sendiri Hugo Lloris dan Martin Odegaard untuk memastikan mereka lapan mata selesa di puncak Premier League.