Pengurus West Bromwich Albion (WBA), Tony Pulis memberikan amaran kepada penyokong kelab tersebut bahawa WBA akan menghadapi kesukaran bagi mencari pengganti yang lebih baik berbanding dirinya.
Pulis mengakui yang beliau tidak terkejut sekiranya dipecat selepas kemuncak kemarahan penyokong semakin membuak-buat menjelang perlawanan bertemu Chelsea malam ini.
Pengurus dari Wales itu dalam sidang media pra-perlawanan menerima dengan hati yang terbuka segala apa yang bakal terjadi kepada nasib dirinya selepas perlawanan ini tetapi beliau memberikan amaran kepada pengkritiknya supaya berhati-hati dengan apa yang mereka inginkan.
”Jika saya meninggalkan pasukan ini esok, saya akan meletakkan rekod saya diatas meja dan memberikan sesiapa sahaja untuk berfikir atas apa yang telah saya lakukan sepanjang tiga tahun disini,” kata pengendali berusia 59 tahun itu untuk membandingkan kelayakan dimilikinya dengan bakal penggantinya.
”Kami sedang menghadapi keadaan perjalanan yang buruk ketika ini dan segalanya akan ditentukan pada perlawanan yang seterusnya.”
”Tiada siapa yang melihat dan memandang ketika saya tiba disini, terdapat beberapa pemain seperti Georgios Samaras, Silvestre Varela, Sebastien Pocognoli dan Cristian Gamboa yang merupakan antara pemain daripada 11 pemain yang dibeli ketika musim panas.”
”Mereka tidak memberikan keuntungan dan saya membawa kelab untuk menamatkan saingan ditempat ke-13 pada musim tersebut.”
Walaupun Tony Pulis masih mendapat sokongan penuh daripada pemilik kelab, Lai Guochuan tetapi para penyokong yang memberontak ternyata mahu Pulis dipecat daripada tugasannya membimbing pasukan.
Kemarahan para penyokong WBA begitu memuncak apabila kelab tersebut hanya memperoleh 10 mata selepas tamat 11 perlawanan setelah mencatatkan 2 kemenangan, 4 seri dan 5 kekalahan untuk berada ditangga ke-16 liga.
Sekiranya mengalami kekalahan kepada Chelsea malam ini, kedudukan tersebut akan lebih parah dan berkemungkinan WBA akan tergelincir hingga ke zon penyingkiran.
Musim lalu WBA berjaya menamatkan saingan liga ditempat ke-10.