Toni Kroos antara watak penting Jerman dalam kemenangan 7-1 ke atas Brazil pada Piala Dunia 2014. Kroos menjaringkan 2 gol dan 1 bantuan gol di dalam perlawanan tersebut.
Jerman mara ke final selepas itu dan menjulang Piala Dunia 2014. Kekalahan tersebut adalah yang terburuk di dalam sejarah pasukan Brazil. Lebih perit ianya berlaku di hadapan penyokong mereka sendiri.
Bercakap kepada sidang media sebelum perlawanan persahabatan menentang Brazil pada Selasa ini, Kroos menyatakan, adalah mustahil untuk Jerman mengulangi pembantaian ke atas Brazil pada kali ini.
Pasukan Brazil sudah banyak meningkat naik sejak peristiwa tersebut. Ianya telah menjadi butang panik kepada pengurusan skuad Brazil.
Skuad Brazil kali ini sarat dengan kualiti meskipun mereka sedang kehilangan pemain berpengaruh dan termahal di dunia iaitu Neymar.
“Apabila saya melihat pasukan Brazil yang ada pada hari ini dengan pasukan mereka pada 2014, pasukan hari ini 2 gred lebih baik.”
Toni Kroos kagum dengan skuad Brazil yang ada. Pada pandangan Toni Kroos, pasukan Brazil adalah salah satu pasukan pilihan untuk menjulang Piala Dunia 2018.
“Mereka ada ramai pemain hebat termasuk rakan saya di Real Madrid, Casemiro. Dan sudah pastinya Brazil adalah salah satu pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia pada kali ini.”
Brazil akan berhadapan dengan Jerman pada Selasa ini di Stadium Olimpik Berlin. Jerman menentang Brazil sentiasa menjadi perlawanan tumpuan dunia walaupun ia sekadar aksi perlawanan persabahabatan.