Yusoff Mahadi: “FAM Masih Tak ‘Restui’ Perletakan Jawatan TMJ”

MFL

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan yang beliau serta kesemua exco di dalam FAM terkejut dengan pegumuman perletakan jawatan oleh TMJ sebagai Presiden FAM.

Sebelum ini, barisan exco FAM termasuk ramai lagi tokoh lain dalam bola sepak memujuk agar TMJ tidak berundur dalam masa terdekat.

Ini selepas TMJ memberikan bayangan akan melepaskan jawatan Presiden FAM selepas kejatuhan ranking pasukan Harimau Malaya.

Beliau turut memberitahu Berita Harian yang exco-exco FAM akan bersidang dalam masa terdekat untuk membincangkan tentang perletakan jawatan oleh TMJ.

Datuk Yusoff Mahadi juga mengesahkan yang TMJ sudah menghantar surat perletakan jawatan secara rasmi yang diterima oleh Setiausaha Agung FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin. Datuk Yusoff Mahadi berkata:

“Saya amat terkejut dengan keputusan yang dibuat oleh Tunku Ismail dan perasaan sedih juga dikongsi semua ahli EXCO FAM. Apapun, keputusan muktamad sudah dibuat oleh Tunku Ismail.”

“Sekretariat FAM akan memanggil semua exco untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan isu peletakan jawatan Tunku Ismail dalam masa terdekat, mungkin kita akan buat minggu depan.”

Beliau akan berbincang dengan Dato’ Hamidin sama ada akan menerima atau menolak perletakan jawatan tersebut. Buat masa ini, rata-rata semua pihak terutama sekali exco FAM tidak bersetuju dengan perletakan jawatan tersebut.

Mereka masih mahu TMJ mengemudi FAM untuk membawa lebih banyak perubahan kepada bola sepak Malaysia.

Semalam di dalam facebook rasmi FAM, TMJ mengucapkan selamat maju jaya kepada FAM dan mencadangkan agar Dato’ Hamidin Mohd Amin diangkat untuk menjadi pengganti beliau selepas ini.

Buat masa ini, tugasan Presiden FAM akan dipangku oleh Datuk Yusoff Mahadi.

Namun begitu, Datuk Mohd Yusoff Mahadi gembira dengan usaha yang dilakukan oleh TMJ dan barisan kepimpinan FMLLP yang menjenamakan semula FMLLP kepada MFL ataupun Liga Bola Sepak Malaysia.

Satu badan bebas yang akan mentadbir Liga Malaysia berdasarkan acuan liga di Eropah seperti EPL dan La Liga. Yusoff Mahadi percaya, penjenamaan semula ini akan membawa kepada peningkatan nilai komersial pada Liga Malaysia dan seterusnya meningkatkan pendapatan pasukan yang bertanding.

Leave a Reply