Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria mengesahkan pemain tengah skuad kebangsaan Kyrgyzstan, Akhlidin Israilov bakal menyarung jersi pasukannya bagi menghadapi saingan Liga Premier yang akan datang.
Pemain yang berusia 25 tahun itu mempunyai 23 kaps bersama skuad kebangsaan Kyrgyzstan dan telah menjaringkan 3 gol di pentas antarabangsa termasuk jaringan ke atas China ketika beraksi dalam kejohanan Piala Asia bulan Januari lalu.
Pada musim lalu, pemain tersebut beraksi dengan kelab liga divisyen satu dari Indonesia iaitu PSIS Semarang. Namun beliau gagal membuat sebarang penampilan dalam saingan liga musim ini kerana perlawanan pertama hanya bermula pada 15 Mei depan.
Israilov dijangka tiba di Malaysia pada hari Selasa ini dan mungkin akan mengisi kuota pemain import Asia bagi menggantikan tempat pemain dari Brunei, Adi Said.
“Jika semua berjalan lancar, dia (Israilov) akan beraksi dalam perlawanan seterusnya. Selain mampu mengawal jentera tengah dengan baik, dia seorang perancang yang boleh membantu bahagian serangan,” katanya dalam Stadium Astro.
Ismail juga berharap pengalaman luas yang dimiliki oleh bekas pemain Dynamo Kyiv itu dapat membantu memperkemaskan jentera tengah pasukannya selepas mengalami kekalahan kepada Terengganu FC II kelmarin.
Selain Adi Said, UiTM FC turut memiliki tiga lagi pemain import iaitu Zarko Korac, Robert Mendy dan Bernard Agele.
“Dengan kembalinya Korac yang digantung perlawanan dan Mendy serta penampilan Israilov, saya jangkakan pasukan kami akan semakin mantap,” tambahnya.