Sebentar tadi, suatu kenyataan agak pedas telah pun dikeluarkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang merupakan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) di Instagram.
Kenyataan tersebut dapat disaksikan secara umum di laman Instagram pemain pertahanan JDT iaitu Junior Eldstal, apabila TMJ secara terang-terangan memerli tonggak import Kuala Lumpur City (KL City) iaitu Giancarlo Gallifuoco dalam ruangan komen.
Menurut TMJ, dalam satu musim sahaja Junior telah pun memperoleh lebih banyak kejayaan berbanding sepanjang karier dilalui oleh Giancarlo.
Lebih pedas, TMJ turut menganggap pertahanan dari Australia itu seperti tong kosong yang hanya tahu membuat bising dan menyedarkan pemain tersebut supaya tahu kedudukan sebenar.
Pada masa sama, TMJ turut menyebut rekod pertemuan JDT dan KL City musim ini yang memihak kepada mereka dengan tiga kali kemenangan sambil memesan Giancarlo berdiam diri.
“Junior pada satu musim sudah meraih gelaran lebih banyak berbanding Giancarlo dalam seluruh kariernya.
“Tong kosong sentiasa membuat lebih banyak bunyi. Sesetengah orang patut tahu kedudukan mereka sebelum bersuara. 2022, 3-0, 3-0, 5-0. Diam sahaja,” ulas TMJ.
Pada masa sama, Giancarlo turut membalas komen tersebut dengan menyatakan beliau tidak mempunyai maksud untuk menyakitkan hati dan menganggap ia hanya satu gurauan.
“Tak pernah sesekali saya ingin menyakitkan hati, sebaliknya ia hanya satu gurauan ringan sahaja. Seperti disebutkan sebelum ini, pasukan terbaik dipenuhi dengan pemain yang bagus. Tahniah untuk musim terbaik anda,” balas Giancarlo.
Malah, Eldstal dan penyerang profilik JDT iaitu Bergson da Silva turut membalas kenyataan dikeluarkan oleh TMJ dengan memberi sokongan atas komen tersebut.
TMJ mungkin menyindir Giancarlo kerana sebelum ini, pemain tersebut telah menganggap pemain JDT gemar merebahkan badan dengan sengaja di Twitter.
“Jelas, JDT memiliki skuad berkualiti dengan pemain-pemain yang sangat berkualiti. Tetapi, jumlah mereka melakukan ‘dive’ sejujurnya layak untuk ke Olimpik.”
Kenapa Arif Aiman Minta Gallifuoco Senyap?https://t.co/1cGbuHi65j
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) November 27, 2022
Malah kenyataan Giancarlo itu turut tidak disenangi pemain muda negara, Arif Aiman Hanapi yang meminta agar pertahanan Australia itu berdiam diri.