Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner percaya pasukan akan kembali menemui jalan keluar selepas dirundum prestasi tidak menentu dalam lima perlawanan awal Liga Super musim ini.
Susulan aksi tidak memberangsangkan naib juara Piala FA 2022 itu yang hanya meraih satu kemenangan sahaja menyaksikan pengendali dari Croatia ini menerima surat tunjuk sebab oleh pihak pengurusan tempoh hari.
Nyata, ia bukanlah situasi yang diinginkan oleh beliau, namun Steinbruckner tidak berputus asa dalam usaha untuk mengembalikan prestasi sebenar pasukan selain percaya Terengganu akan lebih aggresif selepas ini untuk memburu kemenangan.
Jelasnya, kelemahan ketara skuad ini adalah ketumpulan bahagian depan yang sukar untuk mencari jaringan apabila setakat ini hanya mampu meraih dua gol sahaja ketika menentang Negeri Sembilan dan PDRM.
“Selepas lima perlawanan, kita sudah buat banyak analisis dan kalau tengok kepada cara pemain beraksi tidaklah begitu teruk cuma begitu sukar untuk mendapatkan gol.
“Sudah tentu saya rasa tekanan itu tetapi ini adalah normal untuk pasukan dan untuk saya sendiri sebagai jurulatih, jadi apa yang kita kena buat adalah untuk terus mencari peluang meraih tiga mata.
“Ia bukan senang namun saya tidak akan berputus asa terhadap pasukan ini, kita akan terus berusaha dan cari jalan penyelesaian bagaimana untuk meningkatkan kualiti daripada segi menjaringkan gol dan membuat keputusan di atas padang,” katanya menerusi laman rasmi MFL.
Sementara itu, Steinbruckner turut mengharapkan dua pemain import iaitu Habib Haroon dan Sardor Kulmatov akan kembali cergas untuk menentang Kelantan United pada Jumaat ini susulan kecederaan yang dialami mereka ketika ini.
Haroon yang sebelum ini mengalami kecederaan ‘harmstring’ pada pra musim masih merasai kesakitan sama ketika dalam sesi latihan manakala Kulmatov pula berdepan kecederaan lutut dan akan kembali berlatih pada Selasa.
“Sebelum ini Habib Haroon mengalami kecederaan harmstring ketika di Thailand dan sekarang dia masih ada rasa sakit, jadi kita harap dia dapat bersedia untuk lawan Kelantan United.
“Kulmatov pula ada mengalami kecederaan di bahagian lutut dan dia dah menjalani proses pemulihan sejak minggu lalu, tetapi esok (Selasa) dia akan sertai sesi latihan bersama pasukan.
“Kita tengok balik keadaan mereka macam mana dan sekarang pun kita dah berlatih pada waktu malam, jadi banyak nak kena jaga terutamanya dari segi kesihatan para pemain,” jelasnya.
Terengganu FC akan melayan kunjungan Kelantan United FC ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Jumaat, waktu sepak mula 10:00 malam. Saksikan siaran langsung perlawanan ini di Astro Arena Bola 3 (807) dan Astro GO.