Tomas Trucha Wajar Nilai Semula Corak Permainan & Prestasi 3 Pemain Menjelang Derbi Utara

Endrick Adib Raop Faizat Penang 2022 Tomas Trucha

Perlu perubahan corak permainan daripada Tomas Trucha atau perbaiki prestasi pemain terutamanya Endrick dos Santos, Adib Raop dan Faizat Ghazli apabila Penang FC bakal berdepan seteru, Kedah Darul Aman FC?

Menutup tirai saingan Liga Super di kedudukan ketiga musim lalu sudah perlu dilupakan apabila majoriti besar skuad Penang sudah ‘angkat kaki’ dan kini mereka dibarisi wajah-wajah baharu untuk saingan musim 2022.

Malah, empat pemain mereka kini berada di kem Sang Kenari dan telah menjadi tonggak pasukan seperti Amer Azahar, Azmeer Aris dan Al-Hafiz Harun. Cuma Khairu Azrin Khazali yang masih bergelut dengan kecederaan.

4 Pemain Penang FC ‘Lari’ Ke Alor Setar Untuk ‘Terbang’ Ke Asia Bersama Kedah

Penang merekodkan tiga keputusan seri berturut-turut dalam saingan liga selain kemenangan 4-0 ke atas Bukit Tambun FC di Piala FA. Adalah selepas Sri Pahang, kita akan ada ‘Sri’ Penang pula untuk saingan Liga Super?

Tentunya tidak. Cukuplah sekadar Sri Pahang dengan nama istimewa mereka itu. Harimau Kumbang perlu segera bangkit memperkemaskan kombinasi di jentera serangan jika mahu kembali menjadi ‘frontliner’ liga.

Selepas melakar deretan keputusan seri 1-1 menentang Melaka United, Sarawak United dan Negeri Sembilan FC, mereka kini menduduki tangga ke-8 liga dengan mengumpul tiga mata selepas empat perlawanan liga.

Mengapa hanya tiga pemain itu disebutkan dan bukanlah keseluruhan pasukan? Ini kerana, jika dilihat, mereka ada potensi untuk menang dalam ketiga-tiga perlawanan, namun, masalah kombinasi pemain-pemain tersebut di jentera depan menjadi punca kepada kegagalan mereka untuk mencipta peluang dan meledak jaringan.

Benteng wajar dipersalahkan? Rasanya kredit juga kepada benteng terutamanya penjaga gol, Khatul Anuar yang menjadi tembok kebal. Sampai bila benteng mampu bertahan jika jentera depan sering mensia-siakan peluang?

Namun, adakalanya pemain seperti kapten, Latiff Suhaimi juga wajar diingatkan untuk mengurangkan kesilapan individu agar kecemerlangan Rafael Vitor tidak dikaburi dengan masalah agresifnya yang sukar dibendung.

Dalam empat aksi, gawang Penang diuji dengan 24 percubaan tepat, namun mereka hanya dibolosi empat gol. Ini menunjukkan kekentalan Khatul Anuar menafikan lawan. Dan untuk statistik percubaan tepat mereka pula, 13 percubaan tepat dicipta dan tiga gol terhasil – 23 peratus sahaja ia disempurnakan. Data oleh Data Sukan.

Casagrande telah mencuba sedaya upaya, namun peluang buatnya terhad sehingga adakalanya beliau terpaksa tinggalkan posisinya untuk mencari bola. Corak permainan Harimau Kumbang tidak meletakkan peranan itu kepada Casagrande. Tetapi, jika jentera serangan gagal membantunya, apa lagi yang ditunggunya di atas?

Hilal El-Helwe misalnya, telah mempamerkan prestasi dan skil memukau – jika menang, ini akan didendangkan. Hantaran lolos dan skilnya bersama bola sangat baik, namun tiada kombinasi baik bersama dua jentera sayap, Adib Raop dan Faizat Ghazli. Tak keterlaluan untuk dikatakan, kedua-duanya gagal mengukuhkan pasukan.

Endrick pula seperti ‘hilang’ dengan keberadaan Hilal El-Helwe bergandingan bersamanya. Walaupun kita sering melihat kelibatnya bersama bola, namun adakah hantaran-hantaranya menjadi atau sekadar buat hantaran?

Jika Penang mahu mendapatkan semula roh mereka, kemenangan dalam Derbi Utara ini adalah peluangnya. Tetapi, Tomas Trucha wajar melihat semula persembahan ketiga-tiga pemain tersebut. Jika tidak, Harimau Kumbang akan dipermainkan Sang Kenari di Stadium Bandaraya. Bersediakan Penang untuk tumbang?

Mungkin sudah masanya Tomas Trucha dan barisan kejurulatihan melihat semula aksi mereka terutamanya di jentera depan. Bermain di bawah tahap sebenar tidak akan membantu dan adakah mereka perlu membina pasukan di sekeliling Hilal El-Helwe? Jika ya, Endrick perlu peranan baharu dan perbaiki prestasi di sayap.

Corak permainan dengan hantaran lintang sudah tidak lagi releven dengan pemain sayap – sama ada pemain sayap menyerang atau bek sayap, yang tiada kelebihan tersebut. Ini masa untuk perubahan corak permainan bersandarkan kemampuan pemain yang dimiliki musim ini dan bukanlah bersandarkan memori silam.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN