Akhbar tempatan melaporkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sedang merisik kepakaran dari Republic Czech, Tomas Trucha untuk dilantik sebagai Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW) musim depan.
Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan bercakap kepada harian metro, jurulatih berusia 46 tahun itu dilihat calon sesuai untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan pengurusan kejurulatihan pasukan kelantan musim depan.
Malah, menurut Bibi, Tomas pernah menjadi penolong jurulatih kelab Victoria Plazen yang beraksi di saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Bibi turut mengesahkan undingan awal bersama Tomas Trucha hampir mencapai persetujuan dan kini jurulatih berkenaan akan diterbangkan ke Kota Bharu dalam masa terdekat.
“Beberapa perkara sudah dipersetujui melalui rundingan awal bersama Tomas dan hari ini kami sudah menerima e-mel dokumen lengkapnya bagi urusan penerbangan untuk dia datang ke Kota Bharu bagi rundingan seterusnya,” jelas Bibi.
Sekirannya rundingan bersama Trucha tercapai, KAFA akan menyerahkan tugas pemilihan tonggak import baharu pasukan kepadanya.
Katanya, selain prestasinya yang baik, KAFA turut berminat dengan personaliti dan pendidikannya kerana ia faktor penting menjadi seorang pengemudi yang berkualiti.
“Menurut makluman awal, Tomas seorang yang mesra tetapi tegas serta bersifat diplomatik selain mempunyai taraf pendidikan yang baik apabila dia kini sedang membuat PhD dalam bidang kejurulatihan dan pengurusan bolasepak.
“Ini menyebabkan KAFA boleh meletakkan keyakinan terhadapnya dan selepas ini pemilihan import kita akan serah kepadanya demi kebaikan pasukan.” katanya.
Bibi Ramjani turut memaklumkan KAFA tidak mahu terburu-buru mengikat pemain baharu namun sebaliknya ia akan dilakukan secara berhemah demi memberi kesan positif kepada pasukan musim depan.
“Setakat ini kita hanya ikat Do Dong Hyun sebagai pemain import baharu pasukan tetapi yang lain masih lagi dalam rundingan seperti Seydi Al-Imam kerana kita mahu terus melihat kemampuannya beraksi bersama pasukan selain membuat rundingan dengan Abou Bakr Al-Mel.
“Bagi import yang diuji dalam perlawanan persahabatan semalam, saya dimaklumkan hanya Cassio Francisco De Jesus bertindak sebagai posisi pertahanan tengah di dalam perhatian KAFA yang bagaimanapun akan diuji lagi dalam perlawanan persahabatan pada 3 Disember ini,” katanya kepada wartawan Harian Metro.