Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mad menceritakan beliau pernah digantung oleh PBNS selepas dilayangkan kad merah dalam satu perlawanan kira-kira 40 tahun yang lalu.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu mengesahkan ia berlaku dalam final liga tempatan pada tahun 1977 yang membabitkan perlawanan pasukan NS Malays dengan NS Indians di padang Negeri Sembilan di Seremban.
“Dalam perlawanan itu, saya bermain di bahagian pertahanan dan ditugaskan mengawal pemain kebangsaan G. Torairaju dan permainannya sangat bagus, dia laju.
“Saya dilayangkan kad kuning (selepas mengkasari Torairaju) tetapi saya bantah dan tendang bola hingga terkena pengadil. Pengadil tunjukkan kad merah, saya rampas kad dari tangan pengadil dan baling lalu tersangkut di atas pokok.
“Saya tidak boleh bermain lagi selepas itu. Perlawanan itu adalah yang terakhir untuk saya secara rasmi. Ada usul oleh ahli majlis PBNS kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu untuk menamatkan penggantungan itu. Tetapi saya kata tidak perlu, kerana saya salah dan saya layak dibuang padang,” katanya seperti dipetik dalam laman facebook Retro Bola Sepak
Tok Mad turut berkata, terdapat usul oleh ahli majlis PBNS kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu untuk menamatkan penggantungan itu.
“Tetapi saya kata tidak perlu, kerana saya salah dan saya layak dibuang padang,” katanya.
Semalam Majlis Memperkenalkan barisan pemain pasukan Liga Super, Presiden dan Piala Belia Negeri Sembilan telah berlangsung di Klana Resort, Seremban. Menurut Tok Mad, PBNS sasar sekurang-kurangnya satu piala musim ini.
“Kalau boleh, kita mahu julang satu piala sama ada Piala Liga, Piala FA atau Piala Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
“Sasaran kita tidak tinggi sebab kita pun baru masuk Liga Super. Sudah lima tahun kita di Liga Perdana. Tambah lagi, Liga Super sekarang bukan lagi macam yang pernah kita kenali masa jadi juara tahun 2009 dan 2011.
“Kalau boleh, kita hendak berada pada kedudukan lima teratas agar dapat mengekalkan momentum dan prestasi. Kita mahu pemain berasa selesa dalam Liga Super. Tiada tekanan, sebaliknya kita mahu mereka enjoy.
“Main betul-betul supaya kita dapat beri saingan yang baik kepada pasukan lain. Walaupun ramai anggap Negeri Sembilan akan jadi pasukan belasahan, itu tidak apa. Saya yakin dengan pasukan kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan pemain yang menyertai pasukan Negeri Sembilan perlu menandatangani perjanjian tatatertib disiplin selaku pemain dan pegawai, mulai tahun ini.
“Ada benda yang mereka tidak boleh buat dan perlu pastikan tidak terjebak hingga boleh merosakkan diri.
“Mereka mesti ada disiplin yang tinggi sebagai seorang profesional. Jangan hanya mahu profesional dari segi gaji, tapi sikap dan peribadi pula sebaliknya. Itu tidak akan bawa kita ke mana.
“Jika didapati melanggar tatatertib ini, mereka akan dikenakan penalti tertentu yang menyebabkan gaji ditolak,” katanya.