Naib juara Liga Super 2017, Pahang sedia mencuri 3 mata penuh untuk memintas pendahulu Liga Super ketika ini, Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila bakal bertemu Kuala Lumpur di Stadium KLFA pada hari ahad ini.
Perbezaan dua mata dengan pendahulu liga memberi motivasi terbaik buat skuad kendalian Dollah Salleh untuk merapatkan jurang mata lalu mencerahkan peluang untuk menduduki tangga teratas.
Pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli berkata kepada Berita Harian, skuad Tok Gajah perlu konsisten mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super jika mahu terus bersaing dengan JDT.
“Kami perlu mencatat kemenangan jika mahu bersaing di persada liga memandangkan hanya dua mata dibezakan dengan Harimau Selatan.
“Oleh itu, kembalinya saingan Liga Super memerlukan komitmen tinggi daripada rakan sepasukan untuk meraih kemenangan ke atas Kuala Lumpur.
“Namun, kami tidak boleh memandang mudah perlawanan berkenaan kerana tuan rumah sudah pasti mahu mengutip tiga mata di tempat sendiri,” katanya.
Faisal yang digelar sebagai ‘Tocang’ oleh rakan-rakannya itu turut berkata skuad Tok Gajah perlu melupakan seketika saingan Piala FA dan kembali fokus saingan Liga Super untuk meneruskan momentum kemenangan.
Katanya, sepanjang sesi latihan, jurulatih menekankan pembentukan skuad yang mantap untuk memastikan Pahang tidak kehilangan mata.
“Dari segi persediaan, kami sudah sedia untuk mengecewakan Kuala Lumpur,” katanya.
Pahang kini mengumpulkan 10 mata selepas 5 perlawanan dibelakang pendahulu Liga, JDT yang mengumpulkan 12 mata. PKNS FC turut mengekori rapat apabila menduduki tangga ke tiga dibelakang Pahang dengan mata yang sama.