Toby Alderweireld Berhasrat Sumbangkan Tablet Ke Hospital

Alderweireld

Pertahanan tengah Tottenham Hotspur, Toby Alderweireld mempunyai inisiatif berbeza berbanding orang lain dalam usahanya untuk membantu mangsa wabak COVID-19 yang kian menular pada ketika ini.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, para pemain AS Roma telah mendermakan gaji sehari mereka serta turut menyediakan beberapa kemudahan untuk kegunaan Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital di bandar Rom seperti tiga unit alat bantuan pernafasan dan juga lapan buah katil.

Kem Borussia Monchengladbach juga mengesahkan akan mendermakan sebulan gaji mereka dan turut diikuti oleh pemain-pemain skuad kebangsaan Jerman yang turut memberikan sumbangan bernilai hampir $2.7 juta.

Langkah berbeza bagaimanapun diambil Alderweireld apabila beliau memilih untuk menyumbangkan komputer tablet kepada hospital bagi membolehkan pesakit-pesakit tidak berasa keseorangan dan dapat berhubung dengan keluarga mereka.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pemain kelahiran Antwerp, Belgium menerusi video yang dimuat naik di laman Twitter peribadi milik beliau.

”Saya mengharapkan anda semua mematuhi langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menghentikan penularan rangkaian wabak Coronavirus. Virus ini telah mewujudkan banyak keperluan, terutamanya kurangnya komunikasi dengan orang lain.”

”Orang sakit (mangsa) tidak dapat menemui keluarga dan rakan mereka, jadi saya merancang membeli tablet untuk diberikan kepada hospital dan rumah penjagaan. Dengan itu, mereka dapat ‘video chat’ bersama orang yang tersayang dan rakan, pada waktu sulit ini.”

” Dalam beberapa hari dan minggu berikutnya, saya akan cuba mendapatkan tablet-tablet ke tempat-tempat di mana mereka boleh membantu.”

”Saya mengharapkan pada sesiapa yang boleh meluangkan masa, memberikan sumbangan atau melakukan pertolongan. Kerana ia sangat membantu. Kita akan tetap kuat bersama,” ujar Alderweireld lagi.

Kredit foto: Tottenham Hotspur FC/Tottenham Hotspur FC via Getty Images

Baca juga artikel kami yang lain tentang sumbangan pemain bola sepak berikutan COVID-19:

Leave a Reply