Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan bakal bersiaran langsung bersama Astro Arena pada hari ini untuk mendedahkan ‘tangan ghaib’ yang sering diperkatakan oleh ramai berkaitan skuad kebangsaan.
Siaran tersebut, berjudul ‘Pendedahan Eksklusif TMJ’ dijadualkan akan disiarkan pada jam 4 petang ini di siaran 801, selain akaun rasmi Twitter dan You Tube Astro Arena.
Siapa 'tangan ghaib' sebenar? Stay tune! Live YouTube @ASTROARENA 🔥 pic.twitter.com/CK2OfXoZmu
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 27, 2022
Sebelum ini terdapat khabar angin kononnya bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe sukar untuk mendapatkan barisan pemain terbaik untuk tugasan antarabangsa kerana wujudnya ‘tangan ghaib’ yang cuba menganggu atau dalam kata lain menentukan pemain manakah yang wajar dipanggil atau sebaliknya.
Perkara itu bagaimana pun disangkal oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Mohd Amin dalam beberapa wawancara, termasuk ketika ditemubual wartawan Astro Arena, Fina Nasrom baru-baru ini.
Selepas peletakan jawatan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan negara pada awal Januari lalu berikutan prestasi hambar Harimau Malaya di Piala AFF, FAM tidak membuang masa melantik Kim Pan-gon sebagai pengganti.
Bojan Hodak beri syarat. Andai dia di beri mandat sebagai pengganti TCH, jangan ada campur tangan ketika dia menjalankan tugas.@ASTROARENA
— FinaNasrom (@fnasrom) January 4, 2022
Ramai yang skeptikal akan pelantikan tersebut dan bertanggapan ia tetap tidak akan membuahkan hasil untuk pasukan negara sekiranya unsur ‘tangan ghaib’ masih menghantui pasukan.
Bekas jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak yang turut dikaitkan dengan kekosongan ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe sebelum pelantikan Kim Pan-gon turut pernah memberi amaran enggan diganggu oleh pihak yang tidak berkenaan sekiranya beliau ditawarkan jawatan ketua jurulatih.
Siapakah sebenarnya ‘tangan ghaib’ tersebut. Ikuti pendedahan eksklusif Astro Arena bersama TMJ pada petang ini.