Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) selaku pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan pendedahan mengapa pasukan tersebut tidak menandatangani khidmat pertahanan kebangsaan, Dion Johan Cools.
Sebelum itu, ramai peminat bola sepak Malaysia menyangkakan Dion Cools bakal memperkuatkan JDT pada musim ini selepas beberapa foto membabitkan pemain tersebut bersama TMJ berada di media sosial.
Walaupun begitu, sebaliknya berlaku dengan khidmat Cools telah pun ditandatangani Buriram United dan kini beraksi dengan sangat cemerlang bersama pasukan tersebut.
Jelas TMJ, ada sebab mengapa baginda tidak menandatangani khidmat Cools untuk memperkukuhkan posisi pertahanan JDT musim ini yang turut beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL).
Ini kerana gaji untuk pasukan tersebut mendapatkan Cools dianggap terlalu mahal selepas Buriram membayar pemain tersebut dengan satu jumlah cukup tinggi.
Walaupun begitu, TMJ menyatakan Cools pasti akan menyertai JDT jika pertahanan tinggi lampai itu mahu beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) suatu hari nanti.
“Saya rasa setakat ini gaji Dion Cools terlalu mahal untuk kami, dan Buriram juga membayar gaji beliau dengan begitu mahal.
“Tetapi saya juga tahu apabil dia ingin main di Malaysia, saya tak rasa dia akan main dengan pasukan lain kerana kami sudah pun mempunyai hubungan yang sangat bagus.
“Dan dia tahu projek di JDT ini begitu jelas dan tahu tentang kemudahan dimiliki kami selain mengetahui agenda setiap tahun. Suatu hari nanti tentu Dion Cools akan jadi milik JDT,” ulas TMJ menerusi program Nindia
Untuk rekod, Dion Cools kini boleh dianggap sebagai aset penting buat pasukan negara selepas kebolehan pemain tersebut beraksi di posisi pertahanan dengan cukup cemerlang.
Selain itu, Dion Cools juga menjadi antara pemain Malaysia kini yang turut beraksi di pentas saingan ACL bersama Buriram United, selain JDT dan momentum beliau ketika ini sangat menyakinkan.
Beraksi bersama JDT, adalah sesuatu yang tidak mustahil buat Cools kerana pemain tersebut pastinya ingin mengekalkan momentum semasa beliau dengan bermain di pentas tertinggi Asia jika dibandingkan kelab lain.
Apapun, hanya masa sahaja kini yang akan menentukan bila pemain tersebut bakal menyarung jersi Harimau Selatan untuk terus memperkukuhkan posisi pertahanan tengah kelab tersebut.