Seperti yang sedia maklum, TMJ telah mengadakan satu sidang media bersama-sama dengan beberapa pengamal media. Kali ini kami gariskan isu penarikan diri Pahang daripada Piala AFC
Isu ini terus menjadi perhatian baginda yang nyata kecewa dengan sikan PBNP. Ini kerana ia adalah satu isyarat buruk (wrong signal) bahawa ada orang di dalam negara kita berpendapat kejohanan serantau seperti Piala AFC adalah tidak penting.
TMJ menyatakan, apa yang dilakukan Pahang ini tidak akan membantu bola sepak Malaysia daripada beberapa aspek. Pertamanya adalah dari segi ranking.
Baginda mengingatkan ada beberapa pihak tergelak apabila baginda dahulu memberitahu prestasi JDT di kejohanan Piala AFC membantu ranking Malaysia.
Perkara itu akhirnya semakin difahami peminat bola sepak bahawa ia memang betul dan Datuk Windsor Paul sendiri sudah menjelaskan akan hal itu. Pahang seakan-akan tidak mahu membantu menyumbang kepada ranking Malaysia.
Baginda mencadangkan, jika Pahang mahu fokus kepada kejohanan domestik, mereka boleh menggunakan peluang yang ada menghantar pasukan muda (Piala Presiden) mereka untuk bermain di Piala AFC.
Sekurang-kurangnya, pemain-pemain ini didedahkan dengan pengalaman baru dalam karier mereka.
Seterusnya, sikan Pahang ini akan membuatkan penaja hilang kepercayaan ke atas prestij liga Malaysia dari segi komersial. Akan banyak penaja yang akan berfikir dua tiga kali untuk menaja liga yang ada pasukan hanya mahu bermain di dalam Malaysia sahaja.
Baginda juga mempersoalkan, apakah agenda sebenar pihak PBNP enggan bertanding dalam Piala AFC.
Baginda juga mendedahkan, tiada agenda tersembunyi di sebalik keputusan FAM – FMLLP tidak memberikan lesen AFC kepada pasukan Kedah.
Ini kerana mereka gagal dalam auditing dan ia memang sesuatu yang tidak boleh ditolong. Baginda menegaskan, sekarang ini bukan era di mana kronisme dan sikap ‘berkongsi kek’ untuk tolong sesuatu yang tidak layak.