23 November 2017, Hari Palestine Merampas Dan Berada Di Atas Israel

Beberapa media di timur tengah sudah pun menulis pencapaian signifikan Palestine dalam ranking dunia FIFA pada kali ini.

82 adalah angkanya

Pasukan Palestine kini berada di ranking tertinggi dalam sejarah negara mereka. Lebih menarik, apabila Palestine merampas kedudukan tangga ke-82 yang sebelum ini milik Israel.

Agak ironi kerana di luar konteks bola sepak, tanah Palestine banyak sudah dirampas oleh Israel. Israel berhadapan dengan masalah kemerosotan dalam bola sepak mereka.

Mereka gagal untuk bersaing dengan negara-negara Eropah yang lain. Sebelum ini mereka seringkali menjadi negara yang mampu menyaingi pasukan lain. Tiada lagi pemain istimewa seperti Youssi Benayoun dihasilkan dalam beberapa tahun ini.

Ranking terbaik Palestine dan terburuk Israel

Israel turun dengan drastik sebanyak 16 anak tangga ke kedudukan ke-98 dunia. Itu adalah ranking paling teruk dalam sejarah negara mereka.

Palestine yang serba kekurangan dari segi infrastruktur dan tempat bermain telah berjaya untuk meningkatkan prestasi mereka di dunia.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah, negara Palestine yang ‘tidak diiktiraf’ oleh Israel ini mengatasi mereka di dalam ranking FIFA.

Prestasi semasa kedua-dua pasukan sangat berbeza dalam musim ini. Israel melalui kempen kelayakan Piala Dunia yang sangat teruk. Itu yang memberikan impak kepada ranking mereka dan menjadikan mereka pasukan ke-3 paling teruk menjunam dalam ranking FIFA kali ini.

Hanya Chad dan dan Laos yang lebih teruk dengan masing-masing turun sebanyak 19 dan 22 anak tangga.

Untuk pasukan Palestine pula, mereka melalui kempen kelayakan Piala Asia yang cemerlang. Kini mereka menjadi pasukan ke-4 selepas Senegal, Luxembourg, dan Taipei menikmati ranking terbaik dalam sejarah mereka.

Palestine diterima masuk dalam konfederasi FIFA pada 1998. Mereka kini antara negara memiliki rekod kemenangan berturut-turut terbaik dalam kalendar antarabangsa dengan 6 perlawanan, sama dengan Portugal. Hanya Jerman dan Sepanyol lebih banyak dengan 7 kemenangan berturut-turut.

Kami tahu akan ada yang mempersoalkan isu kualiti lawan di antara Palestine dengan Israel, tetapi secara amnya, sebelum ini Israel tetap tidak pernah berada di ranking lebih rendah daripada Palestine.

Aduh Israel

Israel pernah berada di ranking ke-15 dunia pada 2008. Namun selepas itu mereka gagal membangunkan bola sepak mereka yang tiada kesinambungan lebih baik.

Mimpi ngeri Israel bukan sahaja di bawah Palestine, malah kebangkitan pasukan negara teluk yang lain juga membuatkan mereka resah.

Lubnan menikmati ranking terbaik mereka sejak 18 tahun dengan menduduki ranking ke-87. Manakala Syria yang hampir ke Piala Dunia buat pertama kali telah menduduki ranking ke-79.

Syria banyak bermain di Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia mereka kerana pergolakan di negara mereka. Iraq kini berada di ranking ke-77. Kesemua negara tersebut berada di ranking lebih baik daripada Israel.

Israel dan Palestine, kedua duanya menjadikan bola sepak sebagai sukan utama yang sudah bertapak sejak awal abad ke-20.

Perkembangan bola sepak Palestine dan Israel

Pada asasnya, Israel dan Palestine membentuk pasukan bola sepak yang terdiri daripada pemain Yahudi, Arab dan beberapa pemain Inggeris.

Tetapi konflik di antara Israel-Palestine membuatkan mereka menubuhkan persatuan bola sepak sendiri dan bermain berasingan.

Pada era 1960-an Israel sangat aktif bermain dalam kejohanan bola sepak di Asia. Mereka menjuarai Piala Asia 1964 dan bermain di Piala Dunia 1970.

Namun selepas itu banyak kejohanan yang disertai Israel di Asia diboikot oleh negara Arab dan negara Islam yang lain kerana konflik Israel-Palestine.

Israel kemudian menyertai Oceania dan pada 1992 mereka berjaya menyertai UEFA. Pada awalnya, mereka bangga dengan penyertaan dalam UEFA.

Namun lama-kelamaan impak ke atas bola sepak mereka semakin ketara. Peningkatan mendadak gaji pemain, kos operasi dalam bola sepak di Eropah membuatkan Israel gagal membentuk pasukan yang mantap.

Mereka gagal mendapatkan pemain yang terbaik untuk bermain di liga mereka. Kalau ada pemain luar pun ramai pemain yang biasa dan bukannya bakat elit. Liga mereka dianggap liga picisan oleh banyak negara di Eropah.

Revolusi Jibril Rajoub

Manakala di Palestine, mereka meneruskan pembangunan bola sepak dengan cara mereka sendiri. Tokoh politik Jibril Rajoub dianggap sebagai bapa pembangunan bola sepak Palestine.

Jibril Rajoub telah melabur duit yang banyak dan mencari dana untuk memajukan prasarana dalam bola sepak. Beliau adalah orang yang menjadi asas penting dalam bola sepak Palestine.

Rajoub membantu pemain-pemain Palestine untuk bermain di luar negara. Ini kerana, liga bola sepak Palestine dianggap beliau terlalu ‘kampung’ untuk menghasilkan bakat elit bola sepak.

Mereka hanya mampu menyediakan pertandingan untuk pemain menunjukkan bakat kerana negara Palestine sangat gilakan bola sepak.

Selepas pemain cemerlang, ada beberapa individu dalam persatuan bola sepak Palestine akan cuba mencarikan pemain ini kelab di Eropah dan negara-negara Asia yang lain.

Namun buat masa ini, bukan mudah untuk melakukannya. Tetapi mereka tetap mampu menghantar beberapa pemain mereka bermain di liga luar termasuk di Switzerland, Sweden, Mesir dan juga yang ‘hati kering’ bermain di Liga Israel.

Model pengurusan liga mereka diperbaiki dengan pengurusan lebih profesional. Hari ini, liga mereka berjaya melahirkan pemain-pemain lebih berkualiti dan membentuk pasukan yang mampu bersaing di Asia.

Menurut Rajoub, pemain-pemain Palestine in tidak dibangunkan dengan sistem yang kompleks seperti negara lain yang ada program khas daripada usia 7 tahun lagi. Tetapi mereka ada pemain-pemain yang memiliki bakat semulajadi. Sebab itu mereka ini harus dibantu dengan segera untuk mendapatkan yang terbaik daripada mereka.

Dalam satu perkongsian kami sebelum ini, model pengurusan bola sepak Palestine mirip dengan Eropah yang lain dan banyak menggunakan tenaga jurulatih dan pakar sains sukan serta nutritionist yang ‘murah’. Yang penting mereka ada orang di bahagian tersebut.

Hasilnya, Palestine menerusi revolusi Jibril Rajoub ini telah berjaya mara ke Piala Asia buat pertama kali pada 2015. Dan pada 2019, mereka akan bermain sekali lagi di Piala Asia.

Jika dibandingkan dengan fasiliti dimiliki Israel, mustahil untuk Palestine mampu membentuk pasukan yang mampu menyaingi Israel. Dan hari ini mereka sudah mampu melakukannya.

Biarkan ranking berbicara!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN