Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) pada hari ini menafikan Baginda telah mencadangkan Bojan Hodak sebagai pengganti Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya yang baharu.
Penafian tersebut dilakukan Baginda melalui Instagram Story (IG) sebentar tadi. Turut dimuat naik adalah lampiran muka depan artikel dan laporan daripada sebuah portal bola sepak tempatan, bersama-sama dengan kapsyen:
“Tidak benar! Sata tiada kena-mengena dengan pasukan kebangsaan dan saya tiada pendapat. Buat masa ini tumpuan saya adalah membantu mangsa banjir dan persiapan banjir di Johor. Terima kasih,” titah Baginda.
Sebelum itu ura-ura dan status Tan Cheng Hoe selaku Ketua Jurulatih skuad kebangsaan menjadi tanda tanya ramai selepas kegagalan pasukan negara mara daripada saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020.
Jurulatih daripada Kedah itu sebelum ini cemerlang membawa pasukan negara khususnya pada 2019. Sejak mengambil alih jawatan ketua jurlatih daripada Nelo Vingada pada penghujung 2017, Tan Cheng Hoe berjaya menerapkan corak permainan menarik dan meyakinkan ke dalam pasukan sehingga berjaya mencapai beberapa keputusan terpuji dalam beberapa perlawanan selepas itu.
Cheng Hoe named as Vingada replacement https://t.co/VOwJ1oxZc9 pic.twitter.com/pktVgIrp7s
— Stadium Astro 🇲🇾 (@stadiumastro) December 7, 2017
Piala AFF 2020 di Singapura pula ibarat mimpi ngeri buat beliau, apabila segala perancangan serba tidak menjadi. Bermula dengan tempoh persiapan yang singkat (kurang seminggu), jurulatih itu yang membawa hanya 24 pemain ke Singapura turut bergelut dengan masalah kecederaan dan pandemik di kalangan anggota pasukan.
Dan secara tiba-tiba nama Bojan Hodak menjadi sebutan, kononnya menjadi pilihan oleh TMJ dan mulai dilaporkan oleh beberapa media tempatan. Penjelasan daripada TMJ kini menjawab khabar angin yang tidak benar itu.
Hodak juga bukanlah watak yang asing di dalam arena bola sepak tempatan, dan dianggap sebagai salah seorang bola sepak berpengalaman.
Mulai menapak di Liga Malaysia pada 2006 bersama UPB-MyTeam, Hodak juga pernah bergelar jurulatih Kelantan, JDT dan skuad Bawah-19 kebangsaan.
Terbaru, Bojan Hodak berjaya merevolusikan skuad Kuala Lumpur City FC, sehingga pasukan itu muncul juara Piala Malaysia buat kali pertama pada musim ini sejak 1989.