Sebelum ini JDT mengumumkan mereka akan membayar rekod perpindahan tertinggi dalam sejarah MSL untuk Mohammed Ghaddar.
Lantas ada media tempatan yang melaporkan JDT membayar harga RM5 juta untuk pemain antarabangsa Lubnan itu.
Namun hal ini dinafikan oleh TMJ dalam satu temu ramah dengan JST. Baginda menjelaskan jumlah RM5 juta adalah tidak munasabah untuk pemain yang sudah berusian 32 tahun.
(Nota editor: Ghaddar sebenarnya berusia 33 tahun. Lahir pada Januari 1984)
Ianya hanyalah angka ciptaan untuk melariskan surat khabar.
Baginda juga yakin JDT telah membayar harga yang munasabah kepada KAFA untuk Ghaddar. Sesuai dengan kemampuan kelab tersebut dan juga prestasi semasa serta umur Mohammed Ghaddar.
Sebelum itu wartawan bertanyakan kepada baginda, kenapa mengambil Mohammed Ghaddar? TMJ menjawab:
“Bagi saya, ia keputusan yang paling bijak dan tepat kerana ini adalah mid transfer window.”
Baginda juga menjelaskan, jika JDT cuba membeli pemain dari (liga) luar negara, ia akan memakan kos yang lebih tinggi.
Ini sudah pastinya bercanggah dengan polisi kelab JDT yang mahu berjimat pada musim ini. Pemain yang dari luar negara pastinya mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak Malaysia dalam masa yang singkat.
Baginda menambah:
“Kita sudah melihat dan tahu prestasi Ghaddar yang telah terbukti dalam bola sepak tempatan. Ghaddar juga tahu akan lawan beliau. Kenapa kita perlu ambil pemain yang lebih mahal dari luar negara?”
Oleh itu pihak JDT merasakan, bagi jendela perpindahan pertengahan musim, pembelian pemain dari kalangan pasukan dalam Liga Malaysia adalah lebih baik.
Baginda menambah lagi:
“Pegambilan pemain dari luar negara boleh dilakukan tetapi ia lebih sesuai dilakukan pada perpindahan Disember iaitu pada pra-musim.”
“Ini kerana jendela perpindahan tersebut ada masa lebih kurang sebulan setengah untuk menyiapkan pasukan pada musim baru.”