‘TMJ Effect’ Buka Bab Baharu Bola Sepak Malaysia

Dalam konteks bola sepak Malaysia, dah lama kita tak rasa apa yang kita rasai sekarang. Optimistik. Bila kali terakhir kita optimistik dengan peluang kita dalam Piala Asia? Bila kali terakhir kita – sebagai penyokong – tak ketar lutut melihat pemain-pemain Harimau Malaya kita menentang negara ranking 100 ke atas?

Satu perkara mengenai rasa optimistik, ia hanya hadir melalui persiapan rapi daripada pemain. Baik dari segi mental mahupun fizikal. Jika pemain tidak dipersiapkan dengan rapi di peringkat kelab dan kebangsaan, masakan kita akan rasa optimistik. Kita takkan rasa optimistik jika pemain-pemain kita tiada pendedahan menentang pasukan berkelas dunia setiap musim. Kita takkan rasa optimistik jika pemain-pemain kita berlatih dan bermain dengan pemain import yang kualitinya sama – malah ada yang lebih teruk – dengan pemain tempatan pada setiap musim. Kita takkan rasa optimistik jika pemain-pemain kita berlatih dan bermain di fasiliti dunia ketiga.

Kita kena jujur. Melihat pemain-pemain JDT membentuk majoriti anggota skuad kebangsaan menghadirkan rasa optimistik. Melihat JDT merekrut pemain-pemain import berkualiti memberi kita rasa bangga – rupanya liga kita boleh menarik pemain berkualiti. Melihat sebahagian besar pemain-pemain skuad kebangsaan kita bersaing di AFC Champions League setiap musim membuatkan kita berkata, “Hei, kita boleh menyaingi intensiti pemain-pemain Liga Jepun, Liga China dan Korea Selatan.”

Saya tak tahu anda panggil apa. Tapi saya panggil ini ‘The TMJ Effect’. Sebab semua ini takkan berlaku tanpa bantuan pemilik JDT: TMJ. Sejak mengasaskan penubuhan JDT pada 2014, TMJ telah merencana evolusi Harimau Selatan daripada pesaing kejuaraan domestik kepada ahli tetap AFC Champions League. Yang menariknya (dan untungnya kepada kita), visi TMJ dalam bola sepak bukan sahaja merubah JDT; ia turut merangsang transformasi standard bola sepak kebangsaan.

Metodologi TMJ merupakan gabungan visi yang pragmatik, holistik dan berani. TMJ bukan sahaja melabur untuk JDT, malah untuk Harimau Malaya juga. Di atas dan di luar padang. Walaupun tanpa memegang tampuk sebagai Presiden FAM, TMJ masih mampu memberi sumbangan signifikan terhadap kemajuan mantap skuad kebangsaan melalui perkongsian sumber dan ilmunya.

Ia bukan satu kebetulan melihat ranking FIFA skuad kebangsaan naik dari tangga 154 ke 136 sejak JDT ditubuhkan. Ia kemajuan yang agak sederhana terutamanya jika dibandingkan dengan pecutan ranking India dari tangga 171 (2014) ke 99 (2023). Tapi saya lebih rela memilih kemajuan sederhana daripada tiada kemajuan langsung. Perjalanan Harimau Malaya untuk naik ke ranking 100 ke atas memang masih jauh. Tetapi setidak-tidaknya kita berada di landasan yang betul.

Jika kita meneliti satu demi satu sumbangan baginda kepada bola sepak Malaysia, barangkali sumbangan TMJ yang paling besar adalah mentalitinya. Sebagai pengkritik lantang korupsi dan salah urus dalam pentadbiran bola sepak, baginda bertanggungjawab mengubah mentaliti dan standard kita. Baginda dengan lantang dan tanpa jemu menekankan kepada kelab-kelab lain tentang kepentingan pelaburan lebih besar dan berterusan terhadap fasiliti dan pembangunan akar umbi. Bukannya terhadap pembelian pemain import semata-mata. Nasihat dan tegurannya bukan sahaja terngiang-ngiang di telinga ahli lembaga pengarah kelab-kelab lain, tetapi turut melahirkan generasi baharu penyokong dan pemain yang menuntut anjakan paradigma daripada kelab masing-masing.

“Saya buat (JDT) demi Malaysia. Saya orang Malaysia. Saya nak berikan kemajuan kepada bola sepak Malaysia,” kata TMJ menurut Hafizal Hamad, hos rancangan bual sukan di Astro. Hafizal menambah, “(Kemajuan Harimau Malaya) tidak akan jadi jika tiada kerjasama yang baik antara TMJ dengan FAM. Itu realiti,” sambil dipersetujui oleh panel-panel lain dalam rancangan tersebut. “Realitinya, hendak atau tidak, JDT telah meletak satu penanda aras yang besar bahawa – Hangpa nak main, hangpa kena buat macam ini,” tambah Hafizal lagi.

Inilah The TMJ Effect. Pengaruh dan karisma baginda telah meresap ke setiap pelosok udara bola sepak Malaysia. Peminat kini mempunyai sebab untuk berasa optimistik terhadap masa depan bola sepak Malaysia. Bola sepak Malaysia bukan sekadar hidup segan mati tak mahu. Ia semakin mekar. Kejayaan kecil Harimau Malaya telah melahirkan ramai penyokong-penyokong baharu. Mentaliti pemain-pemain dan pentadbir kelab semakin berubah – menghasilkan kitaran sokongan dan kejayaan yang akhirnya menguntungkan kita semua. Menerusi sumbangan-sumbangan baginda kepada Harimau Malaya, baginda sedang membantu FAM untuk mengembalikan status usang kita sebagai jaguh kompetitif di peringkat Asia.

Dalam dunia bola sepak tempatan yang penuh dengan penyelesaian jangka masa pendek dan faedah pantas, TMJ memberikan kita sebuah pengajaran tentang kepentingan visi jangka panjang dan pelaburan berterusan. Metodologi baginda membangunkan JDT dan Harimau Malaya dengan cara baginda sendiri merupakan testimoni apa yang kita boleh capai jika diadun dengan visi, semangat, strategi dan sumber yang cukup.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN