Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuka mulut tentang tindakan beberapa ahli exco FAM yang berkonspirasi mahu menjatuhkan beliau lantas menyingkirkan baginda daripada kerusi Presiden FAM.
Baginda memberitahu hal itu dalam sidang media selepas Kongres Tahnunan JDT baru-baru ini. Oleh kerana tindakan mereka itu, membuatkan beberapa perancangan baginda sukar dilaksanakan kerana seringkali gagal mencapai kesepakatan.
Selain daripada baginda, TMJ juga memberitahu yang ada exco juga cuba menyingkirkan Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam.
“Bukan sahaja nak singkirkan Kevin, malah ada yang nak singkirkan saya sebagai Presiden FAM. Ramai dalam FAM yang berangan mahu menjadi presiden. Saya cakap terus terang.”
Baginda kecewa kerana pihak ini telah menjadi musuh di dalam selimut dan menggunakan media untuk menulis perkara negatif tentang pentadbiran baginda.
“Apa yang mereka lakukan dengan meminta media tulis macam-macam dan berharap jika saya dah muak dan akan tinggalkan FAM, maka dapatlah peluang mereka memegang jawatan presiden.”
“Ia tidak akan berlaku. Jadi dalam FAM pun ada yang cuba berpolitik, malah yang hendak menaja Liga Malaysia juga ada politik, kononnya hendak buat konsortium sendiri atau syarikat sendiri dan tidak perlu lagi ada FMLLP.”
Dalam perkembangan berkaitan TMJ turut melakukan rombakan dalam pengurusan JDT untuk menjadikan kelab tersebut lebih stabil di dalam padang dan juga dari aspek pengurusan dan kewangan.
Antara usaha yang baginda lakukan adalah melantik Luciano Figueroa sebagai duta kelab dan duta hubungan antarabangsa.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani pula dilantik sebagai Pengerusi Yayasan JDT. Tunku Aminah kekal sebagai Presiden Kelab. Datuk Ismail Karim masih memengang jawatan Presiden PBNJ.
Alistair Edwards sebelum ini menjadi Pengarah Sukan Kelab sudah pun dilantik menjadi Pengarah Teknikal sebelum kongres ini bermula dan beliau kekal dengan jawatan itu.
Martin J. Hugo Prest yang menggantikan Alistair di kerusi Pengarah Sukan sebelum ini juga kekal dengan jawatan beliau.
Baginda juga membayangkan akan ada pemain import baharu musim hadapan untuk JDT.