Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Peranan Seorang ‘Ball Boy’ Ataupun Budak Milo Dalam Bola Sepak

Ball boy ataupun dipanggil budak milo di negara kita adalah merujuk kepada mereka yang bertugas mengutip bola di tepi padang (lelaki atau perempuan).

Istilah budak milo itu lahir daripada kebanyakan acara sukan anjuran kementerian dahulu yang berkolaborasi dengan milo.

Disebabkan komitmen Milo yang tinggi dalam sukan di peringkat sekolah sehingga ke hari ini, secara tak langsung, Milo mendapat publisiti percuma.

Setiap petugas ball boy ini akan diberikan baju milo dan bebas untuk menikmati seberapa banyak milo dari lori milo. Kebanggaan untuk menjadi budak milo itu dahulu agak kuat kerana prestij ada baju milo itu.

Hari ini rasanya lagi ramai budak-budak tidak suka tugas ini kerana berpanas dan adanya penghawa dingin di rumah dengan gadget di tangan.

Dahulu budak milo mahu menyumbang sesuatu untuk sukan yang mereka minat sambil melihat abang-abang ataupun orang dewasa kadangkala bintang bola sepak bermain di padang dengan akses paling dekat.

Hari ini, di Malaysia, mereka yang sudah berusia 30 tahu ataupun 40 tahun kalau bertugas di tepi padang mengutip bola tetap dipanggil budak milo walaupun Milo tidak menaja pun.

Ball boy dan bola sepak profesional

Tidak dapat dipastikan tarikh rasmi penggunaan budak milo ini di dalam bola sepak profesional. Namun begitu, dalam buku The History of Soccer in Greater Cleveland From 1906 until 1981, penulis ada menulis yang penggunaan ball boy ini ada sejak 1976 lagi.

Di bawah ini adalah gambar seorang budak ball boy yang bergambar dengan pasukan Brecsville High School pada 1976.

Penggunaan ball boy ini juga diaplikasikan dalam banyak sukan lain seperti tenis. Kriteria pemilihan mereka di dalam sukan bola sepak profesional juga penting.

Pemilihan

Biasanya pemilihan budak milo ini adalah urusan pasukan tuan rumah ataupun penganjur kejohanan. Banyak kelab memilih budak-budak yang ada latar belakang bola sepak termasuk mereka yang bermain untuk pasukan junior kelab mereka.

Ini kerana, budak milo ini perlu cergas dan tahu akan peraturan bola sepak. Di mana mereka harus berada dan sebagainya.

Kini, kelab EPL ada mengiklankan jawatan ball boy ini di laman rasmi mereka. Manchester City antara kelab yang mengiklankan jawatan ini dan memilih pelajar sekolah berusia 11 – 12 tahun.

Mereka haruslah boleh menghadiri setiap perlawanan di Etihad kecuali dengan perlepasan khas. Selain itu, mereka akan menjalani pemeriksaan kesihatan untuk memastikan mereka sihat dan boleh bertugas dalam keadan cuaca yang berbeza-beza.

Paling penting, setiap pelajar ini perlu mendapatkan kebenaran daripada ibu bapa mereka. Newcastle pernah menggunakan kaedah undian untuk kanak-kanak yang ibu bapa mereka merupakan ahli kelab ataupun pemegang pas bermusim.

Kaedah ini banyak digunakan di England, kerana permintaan untuk menjadi ball boy sangat tinggi. Ini kerana ia menawarkan ‘tiket’ menyaksikan perlawanan secara percuma dengan duduk paling hadapan.

Setiap kelab ada regulasi mereka tersendiri. Ada yang mengambil remaja 16 tahun ke atas sahaja. Begita juga di Liga Malaysia, tiada had umur khas untuk jawatan ini.

Adakah mereka diberikan taklimat untuk memberikan kelebihan kepada pasukan tuan rumah? Banyak persoalan dan kritikan kepada budak milo ini kerana seringkali pilih kasih dan memihak kepada tuan rumah.

Ada yang melengahkan perlawanan ketika pasukan mereka sedang mendahului. Di Stoke City, dahulu budak milo mereka mengelap bola untuk Rory Delap, tetapi memberikan bola yang tidak dilap kepada pemain lawan.

Neil Warnock yang ketika itu pengurus QPR meminta FA tegas dengan budak milo ini dan menyatakan mereka perlu diberikan taklimat supaya bertindak adil, lap semua bola. Warnock meminta FA mengambil tindakan kepada pengurusan Stoke.

Namun pihak FA menolak cadangan itu. Bagi pihak FA England mereka telah menjawab persoalan ini. Glenn Hoddle berkata”

“Itulah maksudnya ‘home advantage’ (kelebihan di tempat sendiri). Jika pasukan anda sedang mendahului, kenapa perlu ball boy¬†anda bergegas memberikan bola?”

Anda pastinya masih ingat dengan kecekapan budak milo Selangor ini secara teknikalnya dalam taktikal telah membantu pasukannya menyamakan kedudukan ketika Selangor menang 2-1 ke atas JDT.

Bekas Pengerusi Swansea, Leigh Dineen pula menyatakan, walaupun tidak ada peraturan khas yang dikuatkuasakan untuk ball boy, namun mereka mengambil keputusan untuk mendidik ball boy mereka supaya berpegang kepada fair play dan melayan pasukan lawan secara adil.

Ada juga pemain yang bengang dengan budak milo ini. Antara insiden yang kita ingati adalah insiden Eden Hazard dan Charlie Morgan.

Hari ini jawatan ball boy ini menjadi idaman ramai anak muda di seluruh dunia. Pentas tertinggi seperti Piala Dunia adalah antara yang menjadi sasaran mereka.

Apa yang pasti, kehadiran mereka dalam bola sepak telah membantu melancarkan perlawanan.

Jika di kampung ada yang pergi panjat pokok, terjun parit, sungai, baling bola yang tersangkut dengan selipar, lepas tu selipar dia tersangkut, bola dia serahkan dahulu kemudian baru fikirkan pasal selipar.

Di bawah ini gambar yang kami dapat daripada sebuah kejohanan softball MSSM, lihatlah betapa besarnya sumbangan budak milo ini. Mereka bekerja memperbaiki kondisi di luar padang yang bertakung air.

Anda mungkin boleh kongsikan pengalaman anda menjadi budak milo sama ada di peringkat komuniti ataupun profesional.

Berbanggalah kerana Cristiano Ronaldo sendiri pernah menjadi budak milo dalam perlawanan bola sepak anaknya. Dan bergegas ambil bola takut kena marah.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!