Saingan Piala Malaysia musin ini akan bermula dengan satu pembaharuan iaitu pemansuhan peraturan gol di tempat lawan (away gol rule).
Malaysian Football League (MFL) mengambil pendekatan sebegini bertujuan untuk selaraskan dengan AFC dan UEFA.
Persoalannya, adakah dengan tiada peraturan ini akan memberi kelebihan buat pasukan yang bertanding?
Atau ia dapat meningkatkan lagi keseronokan dalam bola sepak untuk mereka berjuang hingga minit terakhir?
Memandangkan pusingan awal Piala Malaysia akan membuka tirai minggu hadapan, mari kita lihat dua pasukan yang pernah ‘tersakiti’ akibat peraturan jaringan tempat lawan.
Kedah vs Pahang (2019)
Pertemuan dua jaguh dari Utara dan Pantai Timur ini akan menjadi salah satu perlawanan terbaik di dalam sejarah Piala Malaysia.
Siapa sangka, kedua-dua pasukan akan terikat secara agregat 8-8 di separuh akhir sebelum Kedah mengesahkan tempat ke perlawanan akhir dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.
10 jaringan terhasil di Stadium Darul Makmur sudah cukup memberi gambaran bagaimana atmosfera ketika itu dan lebih 29 ribu penonton menjadi saksi detik indah tersebut.
Perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan kerana kedudukan masih terikat 6-6 secara agregat.
Sepanjang 30 minit, kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan sehingga terhasilnya empat jaringan.
Jaringan minit terakhir Dickson Nwakaeme pasti akan diingati kerana pemain ini meraikan jaringan seperti pasukannya terselamat dari kekalahan dan pemenang akan ditentukan melalui sepakan penalti.
Namun sayang seribu kali sayang, jaringan itu tidak memberi apa-apa makna buat Pahang dan Nwakaeme jelas kecewa seperti beliau tidak mendapat ‘taklimat’ berkenaan peraturan gol di tempat lawan.
PDRM vs Kelantan (2016)
Kelantan cuba bangkit di suku akhir kedua dan mereka berjaya melakukannya.
Namun kemenangan 1-0 agak terlewat untuk menghalang kemaraan PDRM ke separuh akhir.
Kemenangan PDRM di tempat lawan memberi kelebihan buat skuad Sang Saka Biru biarpun mereka terikat 2-2 secara agregat.
Di separuh akhir, PDRM cuba melakukan perkara yang sama ke atas Kedah namun begitu tuah tidak bersama-sama mereka.
Sang Saka Biru kemudiannya tumbang 2-1 ditangan Kedah untuk membolehkan mereka layak ke perlawanan akhir dan seterusnya menjadi juara menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti.
Namun begitu, ia tetap menjadi satu sejarah buat PDRM dapat mara sehingga ke separuh akhir.
Ada baik, buruknya
Sebenarnya peraturan gol di tempat lawan ini ada kelebihan dan kekurangannya jika dilaksanakan.
Pasukan yang bermain di tempat lawan dahulu akan mendapat kelebihan untuk mencari jaringan awal.
Sementara pasukan yang akan membalas ‘kunjungan’ pula akan berada di keadaan tertekan jika mereka tewas dalam perlawanan pertama.
Apatah lagi jika pasukan yang ada kelebihan ini akan bermain secara bertahan dan cuba melambatkan permainan untuk mengekalkan kelebihan tersebut.
Secara tidak langsung, ia mengurangkan keseronokan dalam bola sepak dek perkara sebegitu.
Dengan mansuhnya peraturan ini, ia satu tindakan tepat oleh MFL dan akan membuatkan para pasukan berjuang sehingga minit terakhir.
Malah, ia memberi peluang untuk pasukan tersebut bangkit di perlawanan timbal balik selepas dikecewakan dalam perlawanan pertama untuk meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya.
Walaupun pemansuhan ini akan mendedahkan potensi kepada masa tambahan dan penentuan sepakan penalti (penalty shoot-out) dan akan meletihkan pemain, namun ianya akan mempromosikan bola sepak menyerang serta meningkatkan tahap hiburan bola sepak itu sendiri.