Sadio Mane, Keajaiban Sedekah Dan Anugerah Socrates

Sadio Mane Sedekah Anugerah Socrates

Isnin lalu, Sadio Mane hanya selangkah sahaja untuk merangkul anugerah Ballon d’Or yang merupakan pengiktirafan individu tertinggi buat pemain bola sepak profesional. Penyerang Bayern Munich itu berada di kedudukan kedua di belakang Karim Benzema.

Tetapi majlis yang berlangsung di Theatre du Chatelet, Paris itu menyaksikan pemain antarabangsa Senegal tersebut mendapat tepukan gemuruh oleh para hadirin selepas beliau diumumkan sebagai pemenang Trofi Socrates, iaitu anugerah yang diberikan atas usaha murni melakukan kerja-kerja kebajikan terutama di kampung halamannya.

Anugerah berkenaan diperkenalkan buat kali pertama bersempena nama ikon bola sepak Brazil, Socrates – antara pengasas gerakan Demokrasi Corinthians yang menentang pemerintahan junta tentera di Brazil pada 1980-an.

Kekayaan Mane mengizinkannya untuk membina hospital awam dan sekolah selain mambantu ahli keluarga di Bambali, kampung halamannya di Senegal. Beliau juga merupakan salah seorang penyumbang terbesar Jawatankuasa Kebangsaan Senegal ketika usaha mengekang penularan Covid-19 dalam tempoh pandemik sebelum ini.

Wajah baharu Bambali

Bambali kini dilengkapi dengan hospital dan sekolah menengah baharu yang dilaporkan menelan belanja hampir £1 juta (RM5.3 juta). Terdapat juga laporan yang mendedahkan pembinaan pejabat pos dan stesyen minyak di kawasan tersebut juga merupakan hasil sumbangannya.

Walaupun sumbangannya begitu besar, namun beliau tidak pernah sama sekali bercakap tentangnya secara umum sehinggalah usahanya diiktiraf dalam majlis malam gala Ballon d’Or di Paris.

Bercakap di atas pentas selepas menerima trofi anugerah oleh penganjur, France Football, pemain berusia 30 tahun ini mengakui beliau tidak selesa untuk bercakap tentangnya.

“Seperti yang kami sebutkan, saya sebenarnya agak segan apabila perlu bercakap mengenainya [kerja kebajikan],” ujar bekas pemain Liverpool itu.

“Kenapa saya perlu ada kemahuan untuk miliki 10 [kereta] Ferrari, 20 jam berlian atau dua kapal terbang mewah? Apa yang benda ini semua boleh berikan pada saya dan dunia?

“Saya pernah berlapar dan saya perlu bekerja keras di atas padang. Saya harungi tempoh sukar itu, bermain dengan kaki ayam, saya tak mendapat pendidikan yang formal dan banyak lagi.

“Tapi hari ini dengan apa yang saya miliki, saya boleh bantu orang lain di negara saya, terima kasih bola sepak.

“Saya bina sekolah, stadium dan sediakan pakaian, kasut dan makanan untuk mereka yang benar-benar dalam kedaifan. Tambahan pula, saya berikan €70 setiap bulan kepada keluarga di wilayah yang amat miskin di Senegal bagi membantu ekonomi keluarga mereka.

“Saya tak perlu pun tayang kereta mewah, rumah mewah atau percutian mewah, apatah lagi kapal terbang. Saya cenderung untuk berikan sedikit bahagian saya kepada orang lain selepas apa yang capai dalam kehidupan ini.”

Sifat ‘zuhud’ Mane mendapat perhatian ketika beliau bersama Liverpool apabila paparan sekeping gambar menunjukkan beliau sedang memegang telefon bimbit dengan skrin yang retak walaupun hakikatnya dengan kekayaan yang dimiliki, beliau lebih dari mampu untuk membeli telefon baharu.

Mungkin itilah ‘resepi’ sebenar di sebalik kejayaan pemain ini dari segi individu dan pasukan. Bersama Liverpool, beliau telah pun memenangi semua kejuaraan bermula dari Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala Liga, Piala FA, Liga Juara-Juara Eropah (UCL), Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia FIFA.

Di peringkat antarabangsa pula, beliau membantu Senegal menjuarai kejohanan Piala Negara-Negara Afrika pada tahun lalu dan diangkat selaku pemain terbaik Afrika sebanyak dua kali iaitu pada 2019 dan 2022.

Seterusnya beliau hanya selangkah untuk meraih anugerah paling berprestij Ballon d’Or 2022, namun akur di tempat kedua di belakang pemenang Karim Benzema.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN