Melihat Daripada Perspektif Kitaran Kerjaya, Kenapa Park Hang-seo Tak Bimbing Vietnam Di Piala Asia?

Park Hang-seo Vietnam kontrak habis

Kenapa Park Hang-seo tidak menanti sehingga habisnya kempen Vietnam di saingan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung Jun, tahun depan?

Selepas lima tahun membimbing mereka dengan cemerlang, kontraknya akan berakhir pada Januari depan dan ia tidak akan disambung lagi.

Walaupun dikatakan terdapat perbincangan mengenai penyambungan kontraknya, tetapi ia berakhir dengan Park mengucapkan ‘annyeong’.

Sejak dilantik pada 2017, Park boleh dianggap sebagai jurulatih paling berjaya di Vietnam dengan kejayaan merangkul pelbagai kejuaraan.

Antara yang terus dikenang adalah menjulang kejuaraan Piala AFF 2018, mara ke suku akhir Piala Asia 2019 dan pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022. Selain itu, beliau juga berhasil memenangi pingat Emas Sukan SEA sebanyak dua kali, mara ke separuh akhir Sukan Asia 2018 serta muncul sebagai finalis Kejuaraan AFC B-23 2018. Amat mengagumkan!

Setelah membawa Vietnam mara ke Piala Asia buat kali kedua, mengapa beliau mengambil keputusan untuk tidak bersama mereka selepas ini?

Park tentunya ada keinginan mengulangi pencapaian menakjubkan seperti di edisi 2019 yang mana mereka cemerlang mara hingga ke suku akhir.

Skuad ‘Naga Emas’ menjadi satu-satunya wakil Asean di pusingan suku akhir – satu pencapaian yang sangat boleh dibanggakan olehnya. Jika tidak dek kerana tewas tipis 0-1 kepada juara empat kali, Jepun di suku akhir, mereka bakal melakar satu lagi sejarah buat negara dan juga tentunya sebagai wakil Asean. Tidakkah beliau terasa mahu mengulanginya?

Sudah tentu ia berada dalam perancangannya, namun bak kata Kiatisuk Senamuang baru-baru ini, “tiada siapa mampu meramal masa depan.”

Kiatisuk merupakan salah satu calon pengganti Park bersama beberapa lagi nama lain seperti Lee Young-jin, Gong Oh-kyun dan Philippe Troussier.

Penyokong Kedah Perlu Berhenti ‘Bermimpikan’ Kiatisuk Senamuang?

Ada yang mengatakan ia berpunca daripada tekanan besar dilaluinya untuk menjadikan Vietnam sebuah pasukan yang lebih baik dan Park sudah tidak memiliki kekuatan mental untuk meneruskan perjalanan bersama pasukan. Ia adalah tanggapan oleh Jernej Kamensek iaitu pemerhati bola sepak Vietnam yang berasal dari Slovenia yang dipetik dari portal The Thao.

Benarkah Park Hang-seo tidak memiliki kekuatan mental lagi? Ia sedikit janggal kerana kita sedia maklum tentang karekter pengendali tersebut.

Ketika di pusingan akhir kelayakan Piala Dunia – di mana mereka hanya selangkah menuju ke Piala Dunia 2022, mereka teruk ‘dilunyaikan’ dalam saingan Kumpulan B. Walaupun ada dua keputusan positif, namun secara keseluruhannya, ia satu persembahan yang kurang konsisten oleh mereka.

Dua keputusan positif tentunya ketika mengikat Jepun 1-1 dan menang ke atas China 3-1. Untuk keputusan perlawanan lain, ia agak kurang baik.

Mungkin tekanan ini yang menyebabkan beliau rasa sudah tiba masanya untuk jurulatih lain mengambil alih kerusinya. Beliau telah beri segalanya dan Vietnam seperti sudah sampai te tahap maksimumnya. Beliau sudah tidak mampu mengharungi satu lagi pusingan kelayakan Piala Dunia.

Mungkinkah, beliau sebenarnya sudah berasa cukup dengan apa yang diberikannya. Beliau, Vietnam dan para pemain perlukan ‘angin’ baharu.

Apabila beliau berhenti pada ketika ini – sebelum Piala Asia, beliau mungkin akan sentiasa dikenang dengan sebaiknya oleh para penyokong Vietnam.

Ini adalah masa terbaik untuknya mengundurkan diri. Mungkinkah kitaran kerjayanya sudah sampai ke kemuncaknya dan jika sesuatu yang tidak memihak berlaku kepada Vietnam di Piala Asia, beliau akan dicemuh selamanya. Berapakah agaknya hayat seseorang jurulatih bersama sesebuah pasukan? Adakah sesuatu yang negatif menanti Vietnam?

Menurut penulis The Guardian, Chris Evans, untuk seseorang jurulatih kekal relevan bersama pasukan yang sama dalam satu jangka masa yang lama adalah dengan membuat pasukan sentiasa ada pendekatan segar selepas tiga tahun. Jika tidak, mungkin hayat mereka bertahan hanya tiga tahun.

“Jurulatih yang mencapai kejayaan berterusan dalam tempoh yang panjang dan meninggalkan pasukan ketika di puncak prestasi sentiasa membina semula pasukan mereka.”

“Jawapan buat jurulatih adalah bukan meninggalkan pasukan selepas tiga tahun, tetapi seperti yang dicadangkan oleh Guttmann, jurulatih perlu menguasai seni memastikan pasukan sentiasa segar supaya mereka tidak terkena sumpahan tahun ke-4.”

Beliau memberikan contoh bagaimana Alex Ferguson boleh kekal berjaya dalam tempoh yang panjang bersama Manchester United. Ia adalah dengan membina dan merombak pasukannya banyak kali. “Salah satu kekuatannya [Alex Ferguson] ialah keupayaannya untuk mengetahui bila ia perlu berlaku [perubahan] dan keberaniannya untuk mengambil tindakan drastik.

Untuk situasi di Malaysia, kita boleh lihat bagaimana JDT boleh memegang trofi kejuaraan Liga Super sebanyak sembilan tahun berturut-turut. Ia tidak dilakukan oleh seorang jurulatih tetapi mereka kerap berganti pengendali.

Menurut Tunku Mahkota Johor (TMJ), Benjamin Mora ada berkata kepadanya;

“Apabila dia rasa masa sudah tamat, apabila dia tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya dan respon daripada pemain adalah lain terhadap dia, maka ia adalah masa yang sesuai untuk dia berhijrah.”

Itu adalah resipi JDT. TMJ juga menyatakan bagaimana mereka bertukar jurulatih 11 kali dalam 10 tahun, tetapi prestasi pasukan tidak tergugat.

Selain itu, kita juga boleh lihat bagaimana Kedah merundum teruk pada tahun ke-4 Aidil Sharin Sahak mengemudi mereka.  Beliau meninggalkan pasukan selepas prestasi pasukan agak merosot pada musim ini apabila menutup saingan Liga Super di tangga ke-8 – terburuk sejak kembali ke saingan tertinggi Liga Malaysia pada musim 2016. Di luar jangkaan ramai.

Beliau memiliki rekod yang agak baik sebelum ini apabila menghadiahkan Sang Kenari Piala FA 2019 serta layak beraksi di Piala AFC selama dua musim berturut-turut. Mereka turut beraksi di pusingan kelayakan AFC Champions League 2020 – tewas 1-4 kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul.

Kedah juga merupakan finalis Piala Malaysia 2019 sebelum tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di pentas final dan tersingkir di pusingan suku akhir edisi 2021 – juga tewas kepada JDT dengan agregat tipis 0-1.

Mungkin inilah punca Park Hang-seo memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya. Kitaran kerjayanya sudah sampai ke kemuncak dengan untuk mengulanginya adalah sukar apatah lagi untuk memperbaharuinya.

Vietnam sudah sampai ke batasnya. Dalam dua tahun terkini, Park dilihat sentiasa berkata yang kelab-kelab di V-League perlu meningkatkan kualiti mereka untuk melepasi batas tersebut – usaha tunggalnya tidak cukup.

Dengan meninggalkan skuad ‘Naga Emas’ ketika ini, mungkin kitaran dan wajah baharu dapat diberikan di Piala Asia yang kian menjengah tiba.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN