Penyerang baharu Chelsea, Timo Werner berkata yang beliau telah membuat pilihan yang tepat apabila memilih menyertai Chelsea berbanding Liverpool.
Werner menyertai Chelsea dari RB Leipzig dengan nilai perpindahan sebanyak £47.6 juta selepas berbulan-bulan dikaitkan dengan Liverpool sebelum itu. Malah, pengendali Liverpool, Jurgen Klopp turut dikatakan pernah berhubung sendiri dengannya.
Liverpool antara kelab yang berminat
Livepool tidak dapat memberikan tawaran yang terbaik akibat daripada masalah COVID-19 yang akhirnya percubaan mereka untuk memikat penyerang Jerman itu berkesudahan dengan Chelsea mengambil alih perbincangan mendapatkannya.
Chelsea akan bertemu Liverpool pada Ahad ini dan dijangkakan Werner bakal sekali lagi mengetuai jentera serangan The Blues. Minggu lalu, beliau telah memberikan aksi terbaiknya walaupun gagal meledak sebarang gol ketika berdepan Brighton.
Ditemui di sidang media, Werner berkata, “Ketika saya mengambil keputusan untuk keluar daripada Leipzig, tentunya saya ada bercakap dengan beberapa kelab lain [untuk berhijrah]. Selain Chelsea, saya juga ada bercakap dengan kelab lain.”
“Walaubagaimanapun, saya tidak beminat untuk bercakap mengenai kelab-kelab tersebut lagi kerana akhirnya saya telah memilih untuk bersama Chelsea,” ujarnya sambil berkata Liverpool adalah antara kelab yang berminat mendapatkannya.
Mungkin lebih sesuai memilih kelab lain
Tambahnya lagi. “Ada kelab-kelab lain seperti Liverpool yang memiliki skuad yang mantap tetapi mungkin saya lebih sesuai untuk berada di kelab lain. Akhirnya saya memilih Chelsea kerana ia satu keputusan yang terbaik yang boleh saya buat.”
Werner turut berkata yang bukan sahaja gaya permainan Chelsea menarik minatnya tetapi cara mereka meyakinkannya untuk memilih mereka berbanding kelab lain. Sukar buatnya untuk membuat keputusan, namun beliau kini sangat gembira.
“Selepas hampir dua bulan berada di sini, saya rasa ianya pilihan yang tepat. Saya berasa sangat baik. Pasukan ini juga sangat hebat. Saya sangat gembira untuk bermain di sini, menjadi sebahagian daripada Chelsea,” ulasnya lagi mengenainya.
“Saya datang ke sini untuk memenangi kejuaraan,” tambahnya sambil berkata yang pengurus, Frank Lampard kerap menghubunginya dan juga adakala menghantar video tentang perancangan untuknya sekiranya beliau memilih Chelsea nanti.
Penutup
Werner berkata, semua tindakan Lampard sangat membantunya dalam membuat keputusan. Pengurus itu tidak hanya melihatnya sebagai pemain tetapi juga sebagai insan biasa. Lampard juga menurutnya memiliki visi gaya bola sepak yang jelas.
Werner merupakan antara rekrut-rekrut baharu di Stamford Bridge selain Kai Havertz, Ben Chilwell, Hakim Ziyech dan Thiago Silva. Penjaga gol, Edouard Mendy akan menyusul tidak lama lagi untuk melengkapkan skuad Chelsea musim ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: GETTY IMAGES