Rekrut baharu Chelsea, Timo Werner mendedahkan bahawa pengurus pasukan, Frank Lampard kini sedang bekerja keras untuk meletakkan skuad bimbingannya itu untuk berada satu tahap bersama dua calon juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020/21, Liverpool dan Manchester City.
Dengan kebebasan untuk berbelanja besar bagi memperkuatkan kembali skuad Chelsea menjelang musim baharu, Lampard sudah pastinya berdepan tugas getir untuk menyediakan skuad mantap dalam memberikan cabaran hebat buat dua kelab tersebut.
Selain Werner dan Hakim Ziyech yang lebih awal menyertai pasukan, The Blues turut membawa masuk Ben Chilwell dari Leicester City dan pemain berpengalaman, Thiago Silva serta dua pertahanan muda, Malang Sarr dan Xavier Muyamba.
Pemain tengah Bayer Leverkusen, Kai Havertz juga dikatakan telah mencapai kata sepakat bersama Chelsea dan hanya menunggu masa untuk diperkenalkan secara rasmi kelab juara EPL lima kali itu.
Dengan limpahan kemewahan yang diberikan Roman Abramovich kepada Lampard selepas semusim tidak membelanjakan wang bagi mendapatkan pemain, Chelsea turut dilihat mampu menjadi sebagai antara pencabar kejuaraan musim ini.
Sehubungan dengan itu, Werner turut mengakui Lampard telah memulakan tugasan dengan baik dalam usaha bagi menjadikan Chelsea lebih baik berbanding musim lalu dengan visi dan pelan masa panjang dirangka olehnya.
”Kerjasama dengan pengurus [Frank Lampard] cukup bagus,” ujar Werner menurut laporan Goal.
”Dia telah menunjukkan dan menjelaskan kepada seluruh pasukan, tidak hanya kepada saya, apa yang kami boleh lakukan di dalam padang dan bagaimana untuk meningkatkan pencapaian musim lalu.”
”Dia telah melakukan tugasan dengan hebat dan membincangkan tentang masa depan, dan bagaimana dia mahu kami bersaing hebat dengan pasukan seperti Man City dan Liverpool.”
”Saya merasakan Chelsea merupakan sebuah kelab yang besar dengan skuad yang kami miliki, saya rasa kami boleh mencapai tahap baharu. Kami mempunyai beberapa pemain yang sangat baik di sini dan pengurus ada di sini untuk menunjukkan jalan dan membantu kami untuk meningkat.”
”Kami bekerja keras dari segi taktikal, begitu juga dalam meningkatkan kekuatan dan kecergasan untuk memastikan kami bersedia untuk menghadapi musim ini,” tambah Werner lagi.
Kredit featured image: Darren Walsh/Chelsea FC via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Timo Werner: