Tiga kelab Itali, AC Milan, Atalanta dan Lazio meneruskan kemaraan dalam membawa cabaran Itali ke pusingan seterusnya (32 pasukan terbaik) apabila masing-masing mengetuai saingan kumpulan masing-masing.
Kemenangan yang dicatatkan AC Milan dan Atalanta pada perlawanan pagi tadi berjaya mengiringi Lazio yang terlebih dahulu mengesahkan tempat mereka di pusingan seterusnya dengan lebih awal pada bulan November yang lalu.
AC Milan dan Atalanta ternyata sukar digugat apabila kedua-dua pasukan tersebut membelasah lawan masing-masing dengan keputusan 5-1. Milan menundukkan Austria Wien di San Siro manakala Atalanta ‘menconteng arang’ ke muka para pemain Everton di Goodison Park.
Sementara itu Lazio mencatatkan keputusan seri 1-1 ke atas wakil Belanda, Vitesse Arnhem di laman sendiri untuk mengesahkan kedudukan anak buah Simone Inzaghi itu selaku juara kumpulan K.
AC Milan lawan Austria Wien
AC Milan dikejutkan dengan gol pendahuluan yang dilakukan pelawat berpunca daripada lorongan cantik dari Raphael Holzhauser kepada Christoph Monschein.
Monschein yang tidak dikawal berjaya mempedayakan penjaga gol Milan, Gianluigi Donnarumma bagi jaringan pertama Austria Wien walaupun Leonardo Bonucci berusaha untuk menyelamatkan bola tersebut.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Milan kembali memperkemaskan corak permainan dan usaha mereka berhasil pada minit ke-27 menerusi Ricardo Rodriguez yang menyempurnakan hantaran silang dari Fabio Borini.
AC Milan menamatkan separuh masa pertama dengan dua lagi jaringan menerusi Andre Silva dan Patrick Cutrone untuk kedudukan tamat babak pertama dengan kedudukan 3-1.
Andre Silva dan Patrick Cutrone menambah jaringan kedua peribadi mereka pada minit ke-70 dan 90 untuk kemenagan 5-1 buat AC Milan keatas Austria Wien.
AC Milan kini berada di puncak kumpulan D dengan mencatatkan 11 mata dan keputusan perlawanan terakhir tidak akan menjejaskan kedudukan kelab dari Milan itu di tangga teratas.
Everton lawan Atalanta
Atalanta tidak menunggu lama untuk merobek kubu Everton apabila Bryan Cristante berjaya menolak masuk bola bagi menewaskan Joel Robles di gawang tuan rumah.
Keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama. Atalanta kemudiannya dihadiahkan sepakan penalti setelah Cristante dikasari Ashley Williams namun sepakan Alejandro Gomez berjaya ditepis Robles.
Cristante sekali lagi menemui sentuhan jaringan setelah berjaya menanduk masuk hasil sepakan sudut yang diambil Gomez pada minit ke-64.
Sandro Ramirez cuba untuk merapatkan jaringan namun Robin Gosens dan dua gol dari Andreas Cornelius melenyapkan sisa perjuangan tuan rumah untuk kemenangan 5-1.
Atalanta kini berkongsi 11 mata bersama-sama Lyon. Kedua-dua pasukan akan berentap pada perlawanan terakhir untuk menentukan juara kumpulan E.
Lazio lawan Vitesse Arnhem
Vitesse menghasilkan jaringan pembukaan di minit ke-13 menerusi Bryan Linssen. Sementara itu Luis Alberto menceriakan penyokong tuan rumah pada penghujung babak pertama.
Perlawanan pada babak kedua gagal menjelmakan sebarang jaringan untuk keputusan kekal terikat dengan 1-1 sekaligus Lazio sudah pasti akan menamatkan kedudukan kumpulan K di tangga teratas.