Gara-gara kerana masalah kewangan yang serius dan isu gaji pemain tidak dibayar, bekas setiausaha agung Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil mengumumkan beliau telah melepaskan jawatannya sebagai presiden persatuan itu.
Menurut stadium Astro, Alijus melepaskan jawatannya dengan alasan mahu menumpukan lebih perhatian kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT).
“Saya juga mahu mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada ahli-ahli gabungan SAFA yang telah memberi mandat kepada saya sebagai presiden dalam kongres yang berlangsung Ogos lalu.
“Dalam ucapan saya ketika itu, saya menyatakan bersedia untuk berundur tanpa perlu menunggu penggal habis sekiranya saya gagal atau tidak dapat memberi komitmen.
“Saya juga percaya, barisan ahli majlis tertinggi (AMT) SAFA masih mampu mentadbir persatuan dengan baik kerana mereka memiliki pemimpin-pemimpin berpengalaman, termasuk Datuk Rahman Zakaria (timbalan presiden SAFA),” katanya.
Sempat menjadi Presiden SAFA selama 3 bulan
Alijus dipilih sebagai presiden SAFA bagi penggal 2018-2022 pada 25 Ogos lalu selepas memenangi kerusi panas itu setelah mendapat 39 undi daripada 52 perwakilan gabungan daerah manakala pencabarnya, Datuk Yussof Kassim yang sebelum ini memangku jawatan itu hanya memperoleh 13 undi dalam kongres tahunan SAFA.
Selepas memenangi jawatan itu Alijus menjelaskan sekiranya beliau gagal melaksanakan tugas dengan baik, beliau akan segera letak jawatannya.
“Saya ingin menegaskan, sekiranya saya tidak dapat melaksanakan tugas sebagai presiden dengan baik, saya rela mengundur diri, tidak perlu tunggu sampai empat tahun lagi namun apa yang penting sekarang kami kena melihat ke depan dan memastikan SAFA serta bola sepak Sabah terus maju,” katanya kepada Berita Harian
Pemergian Alijus menambahkan lagi masalah dalaman SAFA
Peletakan jawatan Aljus sebagai presiden menambahkan lagi masalah dalaman persatuan berkenaan ekoran mengalami masalah kewangan yang kritikal.
“Keadaan SAFA kini kritikal, kerajaan negeri perlu membantu persatuan ini, jika tidak, penyertaan skuad Sabah dalam Liga Malaysia musim depan juga akan terjejas,” kata sumber dari SAFA kepada Stadium Astro.
Naib Presiden SAFA, Joehari Ayub, juga dijangka akan melepaskan jawatannya. Bagaimanapun, Joehari yang juga naib presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan belum menghantar surat peletakan jawatannya kepada pihak SAFA.