Pelbagai jenis reaksi diterima selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan akan menghantar skuad Bawah-20 tahun kendalian Brad Maloney untuk pusingan kelayakan Piala Asia AFC B-23 yang akan berlangsung di Mongolia pada Oktober hadapan.
Skuad yang sama juga akan bertanding di kejohanan tersebut sekiranya berjaya melayakkan diri daripada saingan Kumpulan J yang turut terdiri dari Thaland, Laos dan tuan rumah Mongolia.
Sasaran utama ke Paris
Dengan menghantar skuad B-20, Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee menjelaskan objektif utama ialah untuk membentuk sebuah pasukan yang mampu bersaing secara kompetitif untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2024 yang akan berlangsung di Paris, Perancis.
Ini merupakan projek jangka panjang yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Eksekutif FAM sebelum ini.
Quentin Cheng
Sharul Nazeem
Ramadhan Saifullah
Sunil Chandran👆🏻 4 pemain muda di #LigaSuper2021 ini antara yg boleh diberi peluang mewakili #HarimauMalaya B-23 ke kelayakan #AFCU23 kalau pengurusan team membuka slot untuk pemain lebih umur 20 tahun. Setuju? #KamiTeamMalaysia pic.twitter.com/8w54jsTQDQ
— Team Malaysia (@TeamMsia) July 9, 2021
“Kelompok pemain ini [skuad B-20] akan kita sediakan lebih awal bermula tahun ini bagi menghadapi dua kitaran pusingan kelayakan iaitu Kelayakan Piala Asia B-23 2022 pada Oktober ini dan Kelayakan Piala Asia B-23 2024 pada tahun 2023.
“Selain [mereka disediakan untuk] dua edisi Sukan SEA iaitu di Vietnam dan di Kemboja pada 2023,” tegas Kim Swee dalam kenyataan yang dikeluarkan FAM.
Skuad B-20 negara juga dipilih seiring dengan pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2024 Paris, yang mana barisan pemain yang sama perlulah dipersiapkan ke arah itu.
Apa yang dipersoalkan?
Dengan menurunkan skuad B-20 negara, ini bermakna tiada tempat untuk pemain-pemain yang lebih umur. Pasukan negara dilihat memiliki beberapa nama di atas usia 20 tahun yang berpotensi diketengahkan dan diyakini mampu menyumbang kepada pasukan.
Antaranya adalah seperti Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Nik Akif Syahiran (Terengganu FC), Azmeer Aris (Penang FC), Quentin Cheng (Penang FC), Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC), dan Akhyar Rashid (JDT).
Pemain-pemain ini adalah antara pemain yang memiliki pengalaman beraksi di pertandingan domestik tertinggi negara bersama pasukan masing-masing. Ada di antara mereka juga mempunyai pengalaman luas dengan pertandingan peringkat umur antarabangsa bersama pasukan negara sebelum ini.
Datuk @OKS_HarimauMsia ada juga menjawab tentang soalan untuk memanggil para pemain B-23 seperti Hakimi Abdullah & Shahrul Nazeem tapi menurut beliau, fokus utama ialah untuk membentuk chemistry yang kuat skuad B-20 dalam misi untuk layak ke #Paris2024. #AFCU23 #KamiTeamMalaysia
— Team Malaysia (@TeamMsia) July 10, 2021
Turut menjadi persoalan adalah bagaimana peluang mereka untuk mewakili pasukan negara pada masa depan jika bukan kejohanan peringkat umur seperti kejohanan B-23 ini.
Ia tidak mengejutkan juga beberapa pihak mempersoalkan tindakan FAM berdasarkan pencapaian cemerlang skuad B-23 di Kejohanan AFC B-23 yang berlangsung di China pada 2018. Dalam kejohanan tersebut, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjaya layak ke suku akhir dan merekodkan beberapa keputusan cemerlang sepanjang kejohanan.
Antaranya, pasukan negara berjaya mengikat Jordan 1-1 dan menewaskan Arab Saudi 1-0 di saingan peringkat kumpulan sebelum tewas tipis 2-1 kepada Korea Selatan di suku akhir. Bukanya selalu pasukan negara berjaya memberi impak sedemikian di tahap antarabangsa – apatah lagi di peringkat Asia. Peminat bola sepak tempatan pasti mahukan perkara yang sama di kejohanan akan datang.
Bukan pertama kali
Langkah FAM untuk menghantar skuad B-20 untuk kejohanan peringkat usia lebih tinggi bukannya amalan yang pertama kali dilakukan. Ia turut menjadi amalan beberapa pasukan gergasi Asia yang lain sebelum ini.
Antaranya adalah Jepun. Untuk Kejohanan AFC B-23 yang berlangsung di China pada 2018 misalnya, Jepun turut menghantar skuad B-20 ke kejohanan tersebut.
Ini skuad Jepun U20 ketika kejohanan AFC U23 China 2018.
Kalah suku akhir 0-4 kepada Uzbekistan. pic.twitter.com/J6WXoRQxfg
— Ahmad Ridzuan AG (@AhmadRidzuanAG) July 10, 2021
Misi mereka pada ketika itu ialah untuk menyediakan sebuah pasukan serba mantap untuk Sukan Olimpik yang dijadualkan berlangsung di Tokyo dua tahun kemudian.
Dan sepanjang tiga tahun persiapan termasuk tahun 2020 selepas Sukan Olimpik Tokyo ditagguhkan, Jepun telah menguji sehingga 90 pemain sebelum senarai 24 pemain akhir diumumkan baru-baru ini.
Skuad B-20 yang sama turut digunakan oleh Jepun di Kejohanan Copa America 2019 yang berlangsung di Brazil.
Pemilihan skuad B-20 diputuskan lebih awal – Kim Swee pic.twitter.com/rGQ8O3fXey
— KOPPA (@koppatv) July 10, 2021
Untuk skuad B-20 negara pada hari ini yang akan menjadi skuad B-23 dengan sasaran mara ke Sukan Olimpik pada 2024, proses yang sama juga akan dilalui. Brad Maloney dan pasukan kejurulatihan sedia ada harus melakukan pemantauan penuh terhadap prestasi pemain berpotensi di dalam dan di luar negara.
Perkara itu telah dijelaskan oleh Brad Maloney sendiri ketika menjawab soalan wartawan tempoh hari apabila beberapa nama berpengkalan di Eropah turut berada di dalam radar jurulatih dari Australia itu.
Pusingan kelayakan dan pertandingan B-23 AFC juga dilihat sebagai medan terbaik untuk menguji graduan generasi pertama Akademi Mokhtar Dahari ini. Seperti yang kita ketahui, generasi pemain dari AMD sememangnya memiliki kumpulan pemain berkualiti dan tidak wajar dibiarkan begitu sahaja tanpa kejohanan kompetitif.
Persiapan ke Sukan Olimpik 2024 turut sudah dimulakan oleh UAE. Pasukan dari Timur Tengah itu telah melantik bekas Ketua Jurulatih skuad akademi Barcelona, Franc Artigua.
Artigua adalah jurulatih yang bertanggungjawab membangunkan bakat-bakat generasi baharu La Masia seperti Ansu Fati, Riqui Puig, dan ramai lagi.
Big win for the UAE in their U-20 Arab Cup opener against Djibouti 🏆
Our young stars were on the scoresheet 👏
Mohamed Abdalla Al Wafy ⚽️
Mubarak Bni Zama ⚽️
Mohamed Ahmed Al Yamahi ⚽️ pic.twitter.com/eB4lyW1VVQ— Al Jazira Club (@AlJaziraFC_EN) June 21, 2021
Perlantikan Artigua pada Februari lalu bermakna UAE mulai mempersiapkan pasukan juga untuk Sukan Olimpik 2024 selepas gagal melayakkan diri ke Tokyo.
Tidak dapat dipastikan sama ada UAE akan mengambil langkah yang sama menurunkan skuad B-20 untuk pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-23 akan datang. Namun mengambil kira jumlah kejohanan dan pertandingan yang akan dilalui di dalam tempoh tiga tahun akan datang, ia tidak menghairankan jika UAE turut akan mengambil langkah yang sama.
Rumusan
Objektif menghantar skuad lebih muda ke kejohanan lebih dewasa juga tidak seharusnya terarah kepada keputusan perlawanan semata-mata. Apa yang lebih penting adalah pendedahan kepada kejohanan-kejohanan utama yang kompetitif untuk pemain-pemain menyesuaikan diri, selain dari membentuk keserasian di kalangan pemain.
Bagaimana dengan nasib pemain yang sudah lebih umur? Adakah peluang mereka beraksi di peringkat antarabangsa dinafikan oleh keputusan FAM ini? Isu tersebut tidak seharusnya timbul di dalam bola sepak profesional pada hari ini. Sebagai seorang pemain profesional, mereka seharusnya sanggup menerima apa pun cabaran dengan menampilkan prestasi sebaik mungkin bersama kelab masing-masing.
Tidak mustahil pemain-pemain seperti Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Nik Akif Syahiran (Terengganu FC), Azmeer Aris (Penang FC), Quentin Cheng (Penang FC), atau Sharul Nazeem Zulpakar (Selangor FC) mendapat panggilan menyertai skuad senior kebangsaan tanpa beraksi bersama skuad B-23 sekiranya terus menampilkan persembahan cemerlang bersama pasukan masing-masing. Apa yang penting setiap pemain harus menyedari tiada jalan pintas untuk berbuat demikian. Aksi konsisten juga turut dituntut dan kemudian terpulan kepada pemain-pemain ini untuk menyambar peluang yang ada apabila dipanggil menyertai kem latihan negara.
Buat masa ini beri peluang kepada FAM dan Brad Maloney melakukan percaturan terbaik untuk melahirkan sebuah skuad yang mantap – bukan sahaja untuk Sukan Olimpik, tetapi juga untuk skuad senior kebangsaan pada masa hadapan.
Nota Editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organiasi.
Baca artikel menarik lain mengenai bola sepak melalui pautan berikut:
FAM Kata ‘Ini Projek Ke Olimpik 2024’, Tetapi Tidak Berani Janji Layak
Bakal Sertai Skuad B-20, Ini Identiti Pemain Muda Di Jerman Yang Tidak Dinamakan
5 Penyerang Berpotensi Bersama Skuad B-20 Selain Luqman Hakim