Pemenang Piala Dunia 2018, Paul Pogba berkata sekiranya beliau tidak pernah menyesal membuat keputusan meninggalkan Juventus dan berhijrah ke Manchester United tiga tahun lalu.
Bagi Pogba, beliau merasakan dirinya amat bahagia selepas dapat kembali menyertai kelab tersebut.
“Adakah saya nampak sedih?”
“Sejujurnya saya gembira dapat mewakili United. Saya gembira kerana dapat kembali semula ke kelab ini,” Kata Pogba kepada SkySport.
Tambah Pogba lagi, “Seperti yang saya katakan, saya gembira mengenakan pakaian ini, saya sangat gembira untuk kembali ke Manchester United dan bermain untuk pasukan, sebuah kelab sebesar seperti ini.”
Menurut pemain tengah Perancis itu, memilih untuk kembali ke Old Trafford adalah pilihan dari dirinya sendiri walaupun menyedari pasukan ketika itu sedang mengalami kemerosotan prestasi.
“Memilih untuk kembali semula bersama United adalah pilihan saya sendiri. Ketika itu Juventus beraksi di Liga Juara-Juara manakala United di Liga Europa.”
“Saya tidak kesal dengan pilihan saya. Saya tahu United kurang menyinar sejak beberapa tahun lalu.”
“Tapi saya kembali semula untuk membantu pasukan menjadi pasukan disegani,” katanya.
Dilucutkan kapten, Pogba tidak terkesan
Bercakap mengenai hubungannya dengan pengurus pasukan Jose Mourinho, Pogba menegaskan bahawa dirinya langsung tidak terkesan dengan apa yang berlaku dan beranggapan dirinya sama seperti pemain lain, hanya mengikut arahan dari jurulatih.
Hubungan Pogba dengan Mourinho dilaporkan tegang selepas beliau dilucutkan jawatan selaku kapten pasukan.
“Ia tidak memberi kesan kepada saya kerana saya masih turun beraksi. Pengurus berhak untuk memilih mereka yang dirasakan layak menggalas tugas sebagai kapten.”
“Beliau seorang pengurus manakala saya pemain.”
“Saya melakukan apa yang diarahkan olehnya,” katanya.
Pogba bertindak sebagai kapten Red Devils dalam tiga perlawanan Liga Perdana musim ini, selain aksi Liga Juara-Juara ekoran ketiadaan ketua pasukan, Antonio Valencia.
Bagaimanapun, Pogba telah menimbulkan kemarahan Mourinho selepas lantang mengkritik taktik United ketika pasukan seri 1-1 dengan Wolverhampton 22 September lalu.