‘Tiba-Tiba Rio Ferdinand Pun Ucap Tahniah’ – Genap 12 Tahun Sejak Kali Terakhir Malaysia Julang Piala AFF

Rio Ferdinand Malaysia tahniah Piala AFF 2010

12 tahun yang lalu, Malaysia menjulang Piala AFF di edisi 2010 dan bintang bola sepak dunia, Rio Ferdinand turut menyampaikan ucapan tahniah.

Itu merupakan kali pertama dan kali terakhir hingga ke saat ini Harimau Malaya berjaya menjulang kejuaraan dwi tahunan tersebut yang dahulu dikenali sebagai Piala AFF Suzuki – kini Piala AFF Mitsubishi Electric.

Ia pastinya edisi yang akan dikenang oleh semua pemain dan penyokong kerana Malaysia bermula dengan langkah sumbang, teramatlah sumbang!

Malaysia dibelasah 1-5 oleh tuan rumah, Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno di hadapan hampir 62,000 penyokong yang membanjiri stadium.

https://twitter.com/bang_bar0n/status/1303365997655515143

‘Kena bedil, Malaysia tak bermaya di Gelora Bung Karno’ antara tajuk berita pada keesokkan harinya yang menangisi kekalahan tragis skuad negara.

Tidak mudah untuk kita menerima kekalahan kepada musuh nusantara yang sememangnya sentiasa panas dan hangat itu. Penyokong jadi marah!

Pengendali ketika itu, Datuk K. Rajagobal juga pastinya tidak menjangka yang skuad kebangsaan akan bermula dengan langkah sebegitu teruk.

Sebagai jurulatih, jelas sekali saya terkejut dan kecewa, tetapi tidaklah sehingga hilang kepercayaan kepada barisan pemain saya,ungkapnya.

Beliau mempertaruhkan skuad muda dengan beberapa pemain senior seperti Razman Roslan, Amri Yahyah dan Safee Sali untuk ke negara jiran.

Bercakap kepada portal Padang Bolasepak, Rajagobal menceritakan kisah bagaimana skuad negara mula memakai jersi biru yang sinonim sebagai jersi utama sepanjang Harimau Malaya di bawah kendaliannya.

Selepas berbincang bersama Tan [Tan Cheng Hoe] dan melihat semula rakaman perlawanan pada malam itu, kami telah menyimpulkan bahawa kami bermain baik secara berpasukan, tetapi disebabkan kesilapan individu kami dibelasah 1-5. Saya harus buat apa yang perlu bagi membangkitkan semula pemain dari segi psikologi untuk aksi seterusnya berdepan Thailand,” ceritanya lanjut tentang kekalahan pada malam yang sukar dilupakan itu.

Saya telah membuat sedikit rombakan dalam kesebelasan pasukan. Dan ketika itulah biru mula menjadi jersi bertuah buat kami sepanjang kejohanan,” tutup Rajagobal tentang kisah bagaimana jersi biru menjadi jersi utama.

Malaysia terikat tanpa jaringan menentang Thailand dan menamatkan aksi terakhir Kumpulan A dengan berkenduri besar 5-1 ke atas Laos.

Di semifinal, Malaysia membenam cabaran Vietnam 2-0 secara agregat hasil dua gol oleh Safee Sali ketika aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil. Aksi di Stadium My Dinh menyaksikan kedua-duanya terikat 0-0.

Ia kembali menemukan Malaysia dan Indonesia yang mara selepas mereka menewaskan Filipina 2-0 secara agregat, dua gol oleh Cristian Gonzales.

Uniknya Piala AFF adalah final dalam format home dan away. Ini sangat membantu Malaysia apabila beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.

Hasilnya, dua gol Safee Sali dan satu gol Ashaari Samsudin membantu skuad negara mengatasi Sang Garuda 3-0 di Bukit Jalil. Dan dalam aksi kedua di Gelora Bung Karno, Safee meledak satu lagi gol, namun Malaysia tewas 1-2 kepada lawan. Tetapi, ia tidak cukup untuk mereka menafikan kejuaraan pertama buat skuad kendalian Rajagobal selepas tujuh edisi.

Sejam selepas Malaysia berjaya menjulang trofi di Jakarta, satu ciapan daripada bek tengah Manchester United ketika itu, Rio Ferdinand jadi tular.

Rio Ferdinand melontarkan ucapan tahniah atas kejayaan Malaysia.

“Tahniah buat Malaysia menewaskan Indonesia di final Piala Suzuki. Saya pernah bermain menentang skuad B-23 Malaysia, 18 bulan lalu, [mereka] pasukan yang agak bagus.”

Twitter Rio Ferdinand

Ya, Malaysia baru ditewaskan Vietnam 0-3 pada Selasa. Tetapi ia tidak cukup pedih seperti mana kekalahan 1-5 kepada Indonesia. Jadi, skuad kebangsaan yang ada kini perlu kembali bangkit untuk tiket ke separuh akhir seterusnya mungkin bertemu semula dengan Naga Emas di pentas final.

Pegang kata-kata Rajagobal ini sebagai azimat di Piala AFF 2022;

“Apa yang saya mahu kongsikan adalah, kami mungkin hilang harapan pada langkah pertama, tetapi kami tidak pernah hilang harapan sepanjang perjalanan dalam kejohanan tersebut.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN