Semalam 30 Disember 2021 jam 5.30 petang, Malaysia kehilangan seorang legenda bola sepak negara iaitu Datuk M. Kuppan yang disahkan meninggal dunia di rumahnya di Bandar Sri Damansara pada usia 85 tahun.
Mendiang diketahui menghidap arthritis iaitu penyakit berkaitan sendi yang lazim dalam kalangan warga tua. Difahamkan pengebumian akan dilakukan di tempat kelahirannya di Pulau Pinang.
M. Kuppan pernah mewakili pasukan kebangsaan selama lapan tahun sebelum mengambil keputusan untuk bersara sebagai pemain pada 1967 disebabkan masalah kecederaan.
Beliau juga pernah diberi kepercayaan untuk menjadi jurulatih skuad kebangsaan dari tahun 1973 hingga 1977 dan membantu Malaysia menjulang Piala Raja Thailand sebanyak dua kali dan turut menjuarai Piala Merdeka pada 1976 serta memenangi pingat emas Sukan SEA 1977.
Hasil tangannya, beliau pernah membimbing pemain-pemain lain yang diiktiraf sebagai legenda seperti Mokhtar Dahari, James Wong, Namat Abdullah, Isa Bakar, Shukor Salleh, R. Arumugam, Santokh Singh dan ramai lagi.
Jiwa raga demi negara
Dalam satu temubualnya bersama Humans of Kuala Lumpur pada April 2019, M. Kuppan menyingkap kembali kenangannya mengerah kudrat bersama skuad negara.
“Kami semua cumalah budak kampung. Pada saya dapat naik keretapi dari Butterworth ke Kuala Lumpur untuk bermain dengan pasukan kebangsaan merupakan satu penghargaan!” ujarnya yang pernah menjulang kejuaraan Piala Malaysia pada 1957 bersama Pulau Pinang.
“Seperti rakan sepasukan saya Mokhtar Dahari, Santokh Singh, R. Arumugam, kami tidak pernah fikirkan tentang wang atau ganjaran, semuanya hanyalah tentang kebanggaan negara dan pengiktirafan daripada penyokong.
M. Kuppan juga pernah berkongsi cerita bagaimana beliau hanya dibayar RM2 untuk elaun latihan bersama pasukan negeri dan RM5 untuk tugasan skuad kebangsaan.
Malah but yang dimilikinya adalah pemberian dari seorang tukang kasut di Jalan Chulia dan ia digunakan berulang kali sehingga rosak.
“Pada masa itu, kami terpaksa pergi jahit but kerana tak mampu nak beli but baru. Bila kami pergi ke tukang kasut, mereka akan tanya ‘apa ni?’,” ujarnya lagi.
Dahulu dan sekarang
“Saya masih ingat lagi, kami pernah tanya mana pelindung buku lali, mereka [pengurusan skuad negara] cuma jawab ‘tak cukup duit’. Tapi kami redah sahaja! Kadang-kadang kamu mungkin akan fikir kami ini seperti si bodoh yang sanggup main untuk negara.”
“Tetapi hari ini, berlatih pun pemain dapat duduk di hotel 5 bintang. Dulu kamu tahu di mana kami ditempatkan? Stadium Merdeka, dalam bilik persalinan dan tidur berlapikkan kanvas!
“Semasa pernah melatih skuad kebangsaan selama enam tahun. Rakan sepasukan saya R. Arumugam sebenarnya alah dengan susu. Baru separuh sesi latihan dia muntah dan rasa tak sihat.
“Saya suruh dia bersihkan diri dan berehat. Tapi lepas lima minit, dia datang semula dan cakap, ‘coach, saya dah sedia nak berlatih semula’. Ia semua soal dedikasi.
“Hari ini, kita ada padang yang cantik dan selesa, kita ada peralatan dan pelbagai teknologi, tetapi tiada apa-apa pencapaian. Jika kamu bandingkan sumbangan generasi baharu ini dengan yang lama, jauh berbeza.
“Sekarang kita tawarkan pemain itu dan ini, mestilah mereka akan kata ‘ya’, tetapi apa pencapaian mereka? Sebab itulah kami rasa ralat.
Legenda yang dilupakan
“Jka kami pergi ke hospital, kamu akan nampak, pemain-pemain veteren negara kita ada sakit sana sini. Kadang-kadang bila saya ada temujanji, saya simpati dengan nasib mereka.
“Ia seperti ‘jika kamu dikenali, sudah tentu kamu akan diberikan rawatan istimewa, jika kamu dikenali, tak perlulah kamu duduk menunggu berjam-jam’.
“Kebanyakan kami dilayan sama seperti pesakit-pesakit lain, kami perlu ambil nombor giliran dan menunggu.
“Bayangkan ada di antara kami yang tak boleh bersarapan kerana perlu berpuasa sebelum ambil ujian air kencing, sedangkan umur masing-masing sudah 60-an dan 70-an. Sedangkan mereka ini adalah pemenang pingat emas, atlet kebangsaan, tapi apa yang mereka dapat?
“Berapa ramai antara mereka yang boleh pergi dapatkan rawatan? Berapa ramai di antara mereka yang mampu membiayainya? Kami tak terima walau satu sen pun dari kerajaan, malah satu tin biskut pun tak ada. Saya bernasih baik kerana anak-anak dan cucu menjaga saya.
“Sangat mengecewakan veteren Malaysia kurang dihargai. Mereka semua dilupakan.”
M Kuppan juga pernah menjadi Pengarah Kejurulatihan Persekutuan Bola Sepak Pulau Pinang 1986-1990, Timbalan Presiden Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Kebangsaan dan negeri 1990-2010 serta Ahli Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 2004-2010.
Selamat berehat legenda.