Penjaga gol skuad wanita kebangsaan, Nur Azurin Mazlan sah menyertai kelab di Liga India, Misaka United.
Penjaga gol berusia 21 tahun itu telah terbang ke India pada 23 Disember lalu untuk meraih pengalaman baharu di dalam karier bola sepaknya.
Turut hadir memberikan sokongan kepada Azurin sebelum berangkat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) adalah Ketua Pegawai Eksekutif PFA Malaysia (PFAM), Izham Ismail untuk memberikan dorongan kepada penjaga gol muda itu.
Pengalaman berharga buat Azurin
Berita perpindahan Azurin turut mendapat liputan beberapa media bebas luar negara termasuk ASEAN FOOTBALL.
Penghijrahan Azurin turut diumumkan secara rasmi oleh Misaka United melalui sebuah video khas.
Azurin antara tonggak Malayan Tigress ketika menewaskan Palestin 2-0 dalam aksi Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022, September lalu.
Menurut pengumuman oleh Misaka United, Azurin berkemungkinan akan melakukan penampilan pertamanya bersama kelab baharunya itu pada hari ini (26 Disember) di dalam saingann Karnataka Women’s League.
Untuk makluman, Karnataka Women’s League adalah divisyen utama liga bola sepak wanita di wilayah Kartanaka. Ia adalah saingan berasingan dan berada di bawah pertandingan elit bola sepak di India, iaitu India Womens’ League.
Kewujudan kelab bola sepak – walaypun bertaraf amatur – seperti Misaka United dan pecahan liga bawahan seperti Karnataka Womens’ League membuktikan India memiliki struktur bola sepak tersendiri khusus untuk golongan wanita.
Mana sokongan FAM?
Utusan Digital melalui sebuah laporan pada November lalu berkata pemain kelahiran Klang itu menerima tawaran tersebut demi mengejar cita-cita beraksi di luar negara.
Azurin akan beraksi di India selama dua bulan sahaja, kerana liga tersebut hanya berlangsung sepanjang tempoh itu.
Anehnya, tiada pengumuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai perpindahan Azurin. Timbul tanda tanya pemain itu tidak mendapat sokongan daripada badan induk bola sepak kebangsaan tersebut.
#Transfers | 🇲🇾 Goalkeeper of Malaysia Women's National Team,Azurin Mazlan will transfer to Misaka United, a India women's club 🇮🇳.#MFL #FAM #IndiaFootball #MalaysiaFootball pic.twitter.com/JJGJoPGCuY
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) December 25, 2021
Ia adalah perkara aneh mengambil kira FAM sepatutnya turut bertanggungjawab membangunkan bola sepak wanita di negara ini.
Menurut beberapa laporan akhbar sebelum ini, makan minum Azurin turut akan ditaja oleh bekas penyerang negara, Hairudin Omar menerusi produk keluarannya berkonsepkan ‘sedia dimakan dan sedia dimasak’ iaitu sambal DuoBotak serta pes AdeqSue.
We would like to officially announce our first female Malaysian to represent @theonegloveco under @altkeeperstore1 management. It is a big step forward for us, It is an honour to have you on board @azurinmazlan_ ! #bolasepak #bolasepakwanita pic.twitter.com/HDe2qAQlgt
— altkeeperstoremalaysia (@altkeeperstore1) September 4, 2021
Segala kelengkapan dan keperluan Azurin untuk beraksi di India juga dipercayai ditaja oleh pihak ketiga.
Malah Azurin juga dikatakan tidak akan menerima sebarang elaun sepanjang beraksi di India nanti, dan pemergian penjaga gol itu ke sana adalah semata-mata untuk meningkatkan kualiti permainan dan meraih pengalaman.
Tiada sebarang pengumuman, tiada bantuan juga daripada FAM. Adakah FAM hanya sekadar berpeluk tubuh dan lihat sahaja situasi yang dihadapi oleh Azurin?