Kemenangan demi kemenangan yang diraih oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) terutamanya Liga Super membuktikan mereka ketika ini berada di satu tahap lebih tinggi berbanding pasukan lain.
Namun begitu, disebalik prestasi cemerlang mereka ini mungkin sebenarnya ia tidak membantu secara keseluruhan kepada pasukan untuk bersaing di AFC Champions League (ACL).
Hal ini kerana, persaingan di ACL lebih berintensi tinggi dan kelajuan permainan lebih laju jika hendak dibandingkan Liga M.
Ada pasukan cuma mengikut rentak permainan laju JDT namun pasukan tersebut hanya mampu bertahan beberapa detik sahaja sebelum acara berpesta jaringan dimulakan.
Maka disebabkan itu, jika Harimau Selatan tidak dapat tentangan yang sepatutnya maka ia akan menjadi satu perjalanan yang sukar untuk mereka di dalam ACL kelak.
Liha sahaja Liga J1 dan K-League 1 sangat kompetitif dan kerana itu wakil mereka ini dapat memberi saingan serta mampu merangkul kejuaraan ACL beberapa kali.
Persaingan liga amat penting kerana sedikit sebanyak dapat membantu pasukan itu sendiri.
Dari segi jaringan sememangnya tidak boleh dinafikan apabila Harimau Selatan berjaya meledak 49 jaringan.
Pujian juga harus diberikan kerana pasukan ini tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja untuk mencetak gol sebaliknya ada beberapa nama lain mampu memainkan peranan utama tersebut.
Akan tetapi yang merisaukan adalah dari segi pertahanan mereka. Tidak dinafikan hanya bolos satu jaringan sahaja dan itu pun menerusi penalti. Bagaimana pula jika JDT berhadapan dengan pasukan dari Korea Selatan atau Jepun?
Contohnya seperti perlawanan menentang Urawa Red Diamonds tahun lepas dan perlawanan ini nampak begitu sukar untuk wakil Malaysia ini bersaing dengan pasukan tersebut.
Lihat sahaja Paris Saint-Germain (PSG) yang mendominasi Ligue 1 akan tetapi gagal menakluk Eropah dan sering tewas kepada lawan mereka biarpun dibintagi pemain terbaik dunia.
Oleh yang demikian, sekuat mana pun pasukan di Liga M namun jika tiada pasukan yang konsisten dalam memberi saingan, maka ia akan menjadi satu kerugian amat besar bagi Malaysia untuk melihat wakil kita mara lebih jauh di ACL.